fbpx

Sudah tahun 2024, Elisya mahu botak, tambah anak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MEMASUKI tahun baharu, ada dua perkara yang bermain dalam fikiran Elisya ketika ini, satu komitmen untuk membina nama sebagai pelakon dan mahu menambah cahaya mata.

DEMI melangkah lebih jauh dalam kerjaya, pelakon jelita Elisya Sandha sanggup mengorbankan rambut dan bersedia membotakkan kepala atas tuntutan watak.

Sedar keputusan itu akan memberi kesan kepada tawaran lakonan yang akan datang, Elisya atau nama sebenarnya, Nur Elisya Sandha Hassan, 24, sudah bersedia kerana itulah impiannya untuk 2024.

“Azam saya untuk tahun baharu adalah mahu berlakon filem dan terlibat dalam karya di platform penstriman seperti Viu atau iQIYI kerana lebih bebas.

“Sebelum ini saya ada buat ‘side cut’ rambut untuk watak Natalia dalam drama Aku Hanim. 

“Jadi, impian saya seterusnya adalah untuk membawa watak wanita dalam penjara dan saya mahu botakkan rambut.

“Cerita apa dan watak apa saya belum boleh dedahkan kerana masih dalam perbincangan. Doakan saya ada rezeki. 

“Soal tawaran lakonan terganggu, saya tidak rasa ada masalah kerana boleh memakai rambut palsu,” kongsi Elisya.

Adik kepada aktres Fasha Sandha itu juga memaklumkan, tindakannya membotakkan kepala mungkin akan mengundang persepsi negatif masyarakat, namun dia bersyukur kerana dikurniakan keluarga yang turut bekerja dalam industri seni.

“Ketika saya buat rambut ‘side cut’ untuk drama Aku Hanim, ibu mentua (Sheila Rusly) tidak bising kerana dia faham kerjaya saya. 

“Suami saya, Uzair Haqimy juga faham kerana dia juga seorang pengarah.

“Apa yang saya belajar daripada kakak Fasha dan ibu mentua, bagi meningkatkan mutu lakonan dan taraf sebagai pelakon, saya perlu berani membuat perubahan termasuk dari segi imej,” kata Elisya.

ELISYA menjadikan komitmen dan disiplin lakonan kakaknya Fasha sebagai rujukan dalam karier seninya.

Tambah anak

Menyambung perancangan 2024, selain kerjaya Elisya juga sudah bersedia untuk menambah cahaya mata selepas anak sulungnya, Bunga ElHaq kini  berusia dua tahun.

“Jika Allah beri rezeki, jika belum lagi saya akan memberikan fokus terhadap kerja memandangkan saya pun masih membina nama dalam industri,” ujarnya.

Sebelum ini, Elisya pernah mendedahkan sedang menyesuaikan diri sebagai seorang ibu berkarier yang disifatkan bukan satu perkara yang mudah.

Dalam masa sama, Elisya juga masih belum berjaya ‘meleraikan’ Bunga daripada menyusu badan.

Akui Elisya, sebelum melahirkan Bunga, dia juga seperti wanita lain yang ingin menjaga badan dan meletakkan sasaran hanya ingin menyusukan anak sekitar dua bulan.

“Dahulu begitulah, tetapi selepas Bunga lahir, kasih sayang ibu mengatasi segala-galanya. Saya mengutamakan Bunga lebih daripada diri sendiri, jadi daripada kononnya mahu susukan selama dua bulan kini sampai dua tahun masih belum putus walaupun dia turut meminum susu formula.

“Sekarang memang saya berniat untuk leraikan susu badan daripada Bunga.

“Cuma saya tidak mahu menggunakan kaedah yang menakutkannya. Biarlah semua itu berlaku atas izin Allah. 

“Jika dia masih mahukan saya, teruskan sahaja tidak ada masalah,” kata Elisha.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI