fbpx

40 premis perniagaan di Seremban diurus warga asing diarah tutup 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEBUAH premis mencuci kereta diurus oleh warga asing diarahkan tutup ketika operasi penguatkuasaan di Nilai, Seremban baru-baru ini. - Foto ihsan MBS

SEREMBAN – Hampir 40 premis perniagaan di daerah ini diarahkan tutup serta-merta sepanjang tahun lalu selepas didapati diuruskan oleh warga asing.

Pengarah Jabatan Undang-Undang dan Penguatkuasaan Majlis Bandaraya Seremban (MBS), Hanizam Ahmad berkata, tindakan tegas itu diambil kerana telah melanggar syarat lesen yang telah dikeluarkan oleh pihak MBS.

“Bagi mengekang kegiatan itu daripada berulang, operasi berkala akan terus dijalankan oleh pihak penguatkuasaan supaya peraturan dan undang-undang dapat dipatuhi oleh pemilik premis berlesen,” katanya.

Sementara itu dalam hal berkaitan, sebanyak dua premis perniagaan di Nilai telah diarahkan tutup serta-merta oleh MBS Cawangan Nilai atas kesalahan sama dalam operasi yang dijalankan pada 30 Disember 2023 lalu.

Menurut Hanizam, operasi dijalankan di Jalan Desa Kolej dan Putra Indah itu melibatkan dua premis perniagaan iaitu kedai gunting rambut dan premis mencuci kereta.

“Daripada pemeriksaan yang dijalankan dalam operasi tersebut mendapati, kedua-dua premis tersebut mempunyai lesen perniagaan daripada MBS, tetapi diuruskan oleh warga asing yang masing-masing berusia 39 dan 31 tahun.

“Berikutan itu, dua notis dikeluarkan dengan mengarahkan dua premis terbabit ditutup serta-merta dan dua notis pemberitahuan kesalahan langgar syarat lesen di bawah Seksyen Undang-Undang Kecil 3 Perlesenan Tred MBS,” katanya. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI