fbpx

Kadar kemasukan hospital, kematian pesakit Covid-19 masih rendah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Kadar kemasukan pesakit Covid-19 ke hospital pada Minggu Epid ME-51 iaitu antara 17 hingga 23 Disember 2023 dilaporkan pada 0.5 peratus, manakala kadar kematian pula sebanyak 0.8 peratus.

Susulan itu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, ia sekali gus memberi gambaran bahawa kadar untuk kedua-dua parameter itu kekal pada tahap rendah.

“Kementerian Kesihatan (KKM) ingin memaklumkan bahawa keadaan Covid-19 di negara adalah terus terkawal.

“Kebanyakan kes dilaporkan di Malaysia mengalami gejala ringan dan tidak memerlukan rawatan di hospital,” katanya dalam satu kenyataan, di sini tadi.

Mengulas lanjut, Dr. Dzulkefly berkata, sehingga kini juga tiada varian baharu dikesan di Malaysia.

“Varian yang sedang menular di Malaysia ialah masih Omicron dengan subvariannya XBB.1.16, XBB.1.5, EG.5 termasuk JN.1.

“Subvarian Omicron yang sedang menular diketahui tidak menyebabkan kes yang lebih teruk,” jelasnya.

Katanya, Covid-19 akan terus berada bersama rakyat (living with the virus) sama seperti virus salur pernafasan lain seperti influenza.

“Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa mengamalkan keseimbangan daripada segi kesihatan dan kehidupan semasa musim peningkatan kes-kes jangkitan berjangkit.

“KKM akan terus memantau situasi Covid-19 dan varian berkaitan daripada semasa ke semasa.

“Kumpulan rentan seperti warga emas, individu dengan penyakit kronik, individu dengan imuniti rendah adalah amat digalakkan untuk memakai pelitup muka semasa berada di tempat sesak atau menggunakan pengangkutan awam,” katanya.

Pada masa sama, orang ramai turut dinasihatkan agar meneruskan tanggungjawab penjagaan kendiri seperti pemakaian pelitup muka di situasi yang memerlukan, melakukan TRIIS iaitu iaitu Test (Uji)), Report (Lapor), Isolate (Asing), dan Seek (Dapatkan), selain kemas kini status pada MySejahtera. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI