fbpx

420,000 hektar ladang pekebun kecil tidak ditoreh – Johari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Johari (dua kiri) ketika mengadakan lawatan kerja rasmi bersama pengurusan Laman Rasmi Lembaga Getah Malaysia hari ini.

PETALING JAYA – Sebanyak 420,000 hektar ladang-ladang pekebun kecil yang boleh menghasilkan 585,000 metrik tan susu getah setahun dengan nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) RM2.3 billion tidak ditoreh.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, keadaan itu berlaku akibat kekurangan pekerja untuk melaksanakan kerja-kerja menoreh getah.

“Jika kuantiti 585,000 metrik tan ini diolah sebagai bahan produk getah hiliran (downstream products), ia dapat melibatkan nilai tambah mencecah RM8.8 bilion,” katanya dalam satu hantaran di media sosial hari ini.

Johari menjelaskan, Malaysia merupakan salah satu daripada negara memproses produk melibatkan getah seperti tayar (sektor automotif), wayar bertebat, kabel konduktor (sektor semikonduktor), sarung tangan, kasut, tiub, paip, hos dan pelbagai lagi.

Bagaimanapun, kata beliau, aktiviti penorehan getah tidak dijalankan memberi kesan kepada hasil pengeluaran getah bagi mendapatkan getah sekerap (cuplump) atau penghasilan susu getah (lateks) adalah rendah.

Jelas beliau, keadaan itu menyebabkan Malaysia terpaksa mengimport masuk ‘cuplump’ serta ‘lateks’ dari pokok getah negara-negara luar bagi memproses permintaan kilang-kilang di Malaysia yang menghasilkan produk-produk getah.

“Malaysia sebenarnya mempunyai ladang-ladang getah yang telah sedia dan pokok-pokok dalam keadaan baik untuk dikeluarkan hasil, tetapi pengusaha serta pekebun ladang tidak dapat mengusahakannya kerana berhadapan dengan masalah kekurangan pekerja.

“Industri getah mempunyai potensi yang besar untuk berkembang dalam aktiviti-aktiviti “downstream product” dan berpotensi untuk mengeksport ke negara luar, tetapi inilah cabaran yang dihadapi oleh industri getah secara amnya,” katanya.

Justeru, katanya, beliau sedang merangka bersama kementerian dan Lembaga Getah Malaysia untuk membincangkan pelan bagi membantu pekebun-pekebun kecil terbabit secara berperingkat serta membina sebuah ekosistem yang lebih baik bagi sektor itu.

Terdahulu, Johari memaklumkan, beliau hari ini mengadakan lawatan kerja rasmi bersama pengurusan Laman Rasmi Lembaga Getah Malaysia sebuah agensi dibawah seliaan Kementerian Perladangan dan Komoditi bagi membincangkan perkara berkenaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI