PERTUBUHAN Perdagangan Dunia (WTO) baru-baru ini melaporkan gangguan bekalan baja akibat ketegangan geopolitik Iran-Amerika Syarikat yang menimbulkan ancaman berganda kepada keselamatan makanan global melalui kekurangan pengeluaran dan peningkatan harga.
Ketegangan ini turut menjejaskan sektor pertanian Malaysia terutamanya dari segi kekurangan baja.
Ekoran konflik berterusan di Asia Barat hingga sekatan eksport dari China, kos dan ketersediaan baja semakin tidak menentu. Bagi petani Malaysia, khususnya pekebun kecil, kesannya dirasai serta-merta.
Semasa pelancaran Dasar Keselamatan Makanan Negara 2023 pada Januari 2026, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Tranformasi Air, Datuk Amar Haji Fadillah Haji Yusof menekankan betapa pentingnya usaha untuk menangani cabaran ini.
“Apabila kos input meningkat, ia mencetuskan kesan domino, membawa kepada inflasi harga makanan global. Beban ini akhirnya akan ditanggung rakyat.
“Kebergantungan kita kepada rantaian bekalan luar menjadikan kita terdedah kepada kejutan ekonomi global,” katanya.
Krisis semakin meningkat
Menurut laporan berita, Malaysia hanya mengeluarkan kira-kira 39 peratus daripada keperluan bajanya di dalam negara, menyebabkan negara ini amat bergantung kepada keperluan baja import. Pada masa sama, China yang membekalkan satu pertiga daripada import baja Malaysia telah mengetatkan eksportnya bagi melindungi bekalan makanan mereka sendiri.
Lebih memburukkan keadaan, gangguan di Selat Hormuz yang membawa satu pertiga daripada perdagangan baja global telah menyebabkan peningkatan kos dan masa penghantaran.
Di Malaysia, kesannya telah dirasai apabila pengeluar baja tempatan dilaporkan telah menghentikan tempahan baharu kerana harga bahan mentah melonjak sehingga 150 peratus dalam beberapa minggu.
Bagi petani sayur berskala besar, risikonya tinggi. Kebergantungan kepada baja import, terutamanya untuk sistem fertigasi, menyebabkan mereka mudah terkesan akibat gangguan bekalan global.
Bagi pekebun kecil pula, kesannya lebih besar. Dengan keuntungan yang lebih kecil, keluasan tanah terhad dan hasil rendah, mereka kurang berupaya menampung kenaikan harga atau gangguan bekalan. Akses berterusan kepada baja bukan sahaja penting, tetapi kritikal untuk kelangsungan hidup mereka.
Golongan pekebun kecil ini memerlukan pendekatan penyelesaian yang berbeza.
Satu usaha untuk membantu mereka adalah kajian penyelidikan pra-pengkomersilan yang dijalankan oleh syarikat pembetungan nasional, Indah Water Konsortium (IWK) Sdn. Bhd, sebuah syarikat milik Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) di bawah bidang kuasa Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA).
Kajian melalui cabang penyelidikannya, Indah Water Research Centre (IWRC) itu telah menunjukkan potensi penyelesaian dalam sektor pertanian menerusi penghasilan baja organik IWK.
Ujian penilaian keberkesanan baja organik IWK, yang dihasilkan daripada biopepejal hasil proses rawatan kumbahan telah dijalankan kepada empat tanaman landskap (Vinca, Marigold, Japanese Rose dan Petunia) dan empat tanaman makanan (okra, sawi hijau, terung dan keledek) di dalam persekitaran rumah hijau.
Hasil kajian menunjukkan peningkatan ketara dalam pertumbuhan tanaman dan kualiti tanah. Baja berasaskan biosolid ini membekalkan nutrien penting seperti nitrogen, fostorus dan kalium (NPK) yang diperlukan untuk perkembangan tanaman, sekali gus membuktikan bahawa baja IWK selamat untuk kegunaan pertanian.
Ketua Pegawai Eksekutif IWK, Narendran Maniam berkata, penyelesaian ini menunjukkan betapa kayanya baja organik IWK sehingga mampu membantu pekebun kecil meningkatkan ketahanan tanaman.
“Dalam satu ujian di ladang kelapa, baja IWK digunakan sekali setiap dua minggu dan ini telah mengurangkan kos pembelian baja daripada pembekal lain sebanyak kira-kira 68 peratus. Ini merupakan kelebihan besar bagi petani yang beroperasi dengan margin keuntungan kecil.
“Daripada bergantung kepada jumlah input konvensional yang tinggi, formulasi baja organik IWK memberi tumpuan kepada penyampaian aplikasi yang kaya dengan nutrien untuk memaksimumkan keberkesanan setiap penggunaan,” jelasnya.

Alternatif dalam krisis
Di samping bekalan nutrien, komposisi organik membantu mengimbangi semula keasidan tanah yang sering disebabkan oleh penggunaan baja kimia yang berpanjangan, menyokong ekosistem tanah lebih sihat dan pengeluaran tanaman yang lebih mampan dari masa ke semasa.
Baja organik IWK telah menjalani analisis meluas untuk memastikannya tidak mengandungi logam berat berbahaya atau bakteria patogen, dan selamat digunakan.
Kajian toksikologi untuk Prosedur Naik Turun Ketoksikan Oral Akut pada tikus oleh SIRIM tidak menunjukkan kesan negatif, mengesahkan keselamatannya untuk digunakan dalam tanaman tanpa risiko pencemaran.
Di samping itu, Helaian Data Keselamatan Bahan telah dibangunkan untuk mendokumentasikan komposisi kimia, pengendalian langkah keselamatan, serta pematuhan peraturan alam sekitar dan kesihatan.
Lebih penting, baja IWK mendapat pengiktirafan Majlis Agama Kebangsaan. Dalam mesyuarat kali ke-126 pada 25 – 27 Februari 2025, Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam mengkaji penggunaan biopepejal daripada loji rawatan kumbahan sebagai sumber baja organik.
Jawatankuasa membuat kesimpulan penggunaan baja organik berasaskan biopepejal yang diperoleh daripada loji rawatan kumbahan adalah harus, dengan syarat ia terbukti selamat dan bermanfaat.
Kedudukan ini diperkukuhkan Majlis Agama Islam Pahang yang mengeluarkan fatwa pada 2025, membenarkan penggunaan biopepejal yang dihasilkan melalui proses rawatan kumbahan sebagai bahan penghasilan baja organik.

Hala tuju masa depan
Seiring dengan ketidaktentuan global yang berterusan, perbincangan mengenai ketahanan makanan semakin menjadi keutamaan. Selain isu bekalan, terdapat keperluan untuk memberi tumpuan kepada kelestarian jangka panjang, khususnya memperkukuh penyelesaian yang membantu petani kecil.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad menyatakan bahawa Kerajaan sedang berusaha untuk mengembangkan import baja melalui rundingan dengan negara pembekal sedia ada dan baharu.
Kerajaan juga akan berusaha mengaktifkan saluran bekalan alternatif dalam tempoh tiga hingga enam bulan akan datang, sambil memastikan harga kekal kompetitif untuk meminimumkan tekanan.
Narendran berkata, penyelesaian tempatan boleh memainkan peranan penting untuk menyokong cabaran yang semakin meningkat.
Walaupun baja IWK belum diletakkan bagi memenuhi keperluan berskala besar oleh pemain utama industri perladangan, syarikat menawarkan alternatif yang bersesuaian untuk pekebun kecil.
“Inisiatif baja organik IWK mencerminkan hala tuju yang jelas dan berpotensi tinggi. Ia menggalakkan kelestarian alam sekitar melalui kitar semula biopepejal dan mengurangkan pelupusan di tapak pelupusan. Namun, penting baja IWK ini boleh mendapat penerimaan awam,” tambah Narendran.















