IPOH – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah bahawa negara perlu melakukan persiapan secara zahir dan batin untuk menghadapi kemungkinan krisis global yang berpanjangan akibat peperangan di Asia Barat.
Titah baginda, kekuatan ekonomi domestik mesti diperkukuhkan selain keselamatan makanan dipastikan, kestabilan kewangan dijaga dan perpaduan rakyat dipelihara supaya negara tidak mudah terpengaruh dengan sentimen dan sensasi.
“Dalam masyarakat Malaysia yang berbilang kaum dan menganut pelbagai agama, keharmonian ialah aset paling berharga yang wajib dipertahankan.
“Negara berkemungkinan menghadapi risiko darurat tenaga dan bekalan makanan. Dalam usaha menangani krisis yang besar lagi kritikal ini, kerajaan dan rakyat perlu bersatu,” titah baginda di sini hari ini.
Baginda bertitah demikian pada Istiadat Pembukaan Rasmi Tahun Keempat Dewan Negeri Perak Darul Ridzuan ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini.
Sultan Nazrin bertitah, rakyat perlu difahamkan mengenai punca dan magnitud krisis yang sedang berlaku.
Bahkan, titah baginda, rakyat juga perlu difahamkan mengenai kesan dan implikasi terhadap kehidupan harian mereka melalui pelan komunikasi berkesan yang disampaikan dalam bahasa mudah difahami oleh rakyat biasa.
“Ini bukan masanya untuk menangguk di air keruh, mensensasikan dan mengeksploitasi keadaan bagi tujuan politik yang sempit.
“Anggota Dewan Negeri baik di pihak kerajaan begitu juga di barisan pembangkang, pemimpin-pemimpin politik dan pemimpin-pemimpin masyarakat, begitu juga pihak swasta dan kerajaan, hendaklah mencari titik pertemuan dan persamaan, menunjukkan semangat bersatu.
“Saling bekerjasama untuk menangani krisis ekonomi yang bakal melanda, menghayati semangat kesetiaan kepada raja dan negara, membuktikan kesungguhan mengutamakan nasib rakyat, ke hilir sama menghilir, ke hulu sama menghulu.
“Merangka formula berkesan untuk menangani keadaan yang sangat membimbangkan ini, demi kestabilan negara dan kesejahteraan rakyat,” titahnya. – KOSMO! ONLINE














