PERTANIAN merupakan bidang yang penting dan keberhasilan pengeluarannya dapat membantu keterjaminan makanan sesebuah negara.
Di Malaysia sendiri, ramai memilih untuk menerokai bidang pertanian dan menanam pelbagai jenis tanaman bagi memenuhi keperluan pasaran.
Namun begitu, mutakhir ini ada petani yang mengadu hasil tanaman mereka semakin berkurang dan tidak menjadi.
Sebenarnya, penggunaan racun perosak secara berlebihan menjadi isu utama kepada masalah tersebut.
Penggunaan racun perosak yang tidak terkawal sebenarnya boleh meninggalkan kesan jangka panjang terhadap kualiti tanah, tumbuhan dan manusia.
Bagi menangani masalah ini, penyelidik dari Fakulti Bioteknologi dan Sains Biomolekul, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Mohd. Shukuri Mohamad Ali telah membangunkan inovasi enzim S3wahi-MH yang menawarkan penyelesaian mudah dan mesra kepada masalah pencemaran racun perosak dalam sektor pertanian.
Enzim ini mampu memecahkan racun perosak organofosfat yang berbahaya kepada bahan tidak toksik, sekali gus membantu menjaga kesihatan tanah, air dan tanaman.
Dr. Mohd Shukuri berkata, berdasarkan tinjauan lapangan yang dilakukan terhadap para petani, penggunaan racun perosak menjadi satu isu.
Menurutnya, ada petani yang menggunakan racun perosak yang murah atau bahkan racun yang telah diharamkan, kerana faktor keberkesanan dan kos yang lebih rendah.
“Organofosfat merupakan antara komponen utama dalam racun perosak dan bertindak secara efektif dalam membunuh serangga perosak, namun pada masa yang sama memberi impak besar terhadap ekosistem.
“Isu yang timbul adalah apabila racun perosak ini akan kekal lama di dalam tanah dan untuk menguraikannya sangat sukar, lama-kelamaan tanah itu akan menjadi semakin bertoksik dan hasil petani akan semakin berkurang,” katanya kepada K-Kampus ketika ditemui di UPM Serdang, Selangor.
Bukan sekadar itu, tambah Dr. Mohd. Shukuri, penggunaan racun perosak juga sebenarnya akan memberikan kesan kepada kesihatan petani untuk jangka masa panjang.
Inovasi enzim S3wahi-MH tersebut telah membuka satu dimensi baharu dalam usaha menangani pencemaran racun perosak secara lebih selamat dan lestari.
Secara asasnya, enzim ialah biomolekul yang bertindak sebagai pemangkin tindak balas dalam setiap proses kehidupan.
Dalam tubuh manusia, enzim membantu menukarkan makanan seperti nasi menjadi sumber tenaga.
Dalam konteks ini, enzim yang dibangunkan itu memainkan peranan yang sama di mana ia akan memecahkan racun perosak organofosfat.
Menghurai dengan lebih lanjut, Dr. Mohd. Shukuri berkata, enzim yang dibangunkan itu dikesan di dalam satu spesies bakteria Bacillus di sebuah ladang sawit.
Menurutnya, ladang sawit tersebut sudah tercemar dengan racun perosak.
“Lazimnya, kebanyakan mikroorganisma tidak mampu bertahan dalam persekitaran yang mengandungi bahan toksik tinggi.
“Namun, bakteria Bacillus ini menunjukkan keupayaan luar biasa, ia bukan sahaja hidup, malah menjadikan racun perosak sebagai sumber makanannya,” jelasnya.
Tambahnya, ini menjadikannya ia sesuatu yang unik kerana boleh hidup di dalam tanah yang telah tercemar dengan racun perosak.
Melalui kajian lanjut, didapati bahawa bakteria ini menghasilkan enzim khusus yang mampu menguraikan struktur kimia racun perosak tersebut.
Enzim tersebut bertindak dengan cara mengurai organofosfat kepada bentuk yang kurang toksik.
Apa yang menjadikan penemuan ini signifikan ialah potensinya dalam aplikasi dunia sebenar.

Enzim yang diekstrak daripada bakteria Bacillus boleh digunakan untuk merawat tanah tercemar secara lebih mesra alam.
Selain itu, enzim ini turut berkesan dalam mengurangkan sisa antibiotik terpilih yang boleh mencemarkan tanah dan sistem pengairan.
Keupayaannya bertindak ke atas pelbagai jenis bahan pencemar secara serentak mengurangkan kebergantungan kepada kaedah rawatan yang mahal dan kompleks.
Hal ini membantu petani menjimatkan kos pengurusan ladang, mengurangkan risiko kerosakan tanah jangka panjang dan menyokong amalan pertanian yang lebih lestari.
Dr. Mohd. Shukuri menjelaskan, dalam sektor penternakan, antibiotik sering digunakan untuk merawat penyakit haiwan atau sebagai langkah pencegahan.
Menurutnya, masalah timbul apabila sisa antibiotik ini tidak diurus dengan baik dan ia biasanya dilepaskan bersama air buangan ke dalam longkang, sungai dan persekitaran terbuka.
“Dalam keadaan ini, antibiotik tidak hilang begitu sahaja sebaliknya kekal dalam persekitaran dan bakteria mula menyesuaikan diri dan membina kerintangan terhadap antibiotik.
“Apabila bakteria ini telah rintang terhadap antibiotik sukar untuk kita membunuh bakteria ini apabila antibiotik yang sepatutnya membunuhnya tidak berfungsi.
“Di sinilah enzim ini memainkan peranan di mana ia boleh menguraikan antibiotik yang dibuang sekali gus dapat menghalang bakteria daripada membina kerintangan terhadap antibiotik,” jelasnya.
Dalam pada itu, enzim yang dibangunkan itu bukan sahaja unik dari segi fungsi, tetapi juga praktikal dari segi cara penggunaannya di lapangan.
Bentuk penggunaan enzim ini sangat fleksibel.
Ia boleh diaplikasikan dalam bentuk larutan untuk disembur ke atas tanah atau dijadikan serbuk untuk diletakkan dalam takungan atau saluran air dan paip yang kemudian akan mengalir.
Dalam ujian yang dilakukan, tanah dan air yang terdedah kepada enzim menunjukkan penurunan ketoksikan dengan ketara berbanding yang tercemar racun perosak dan antibiotik.
Ini bukan sahaja menjamin kesihatan petani, tetapi juga meningkatkan kualiti tanah untuk pertanian jangka panjang.
Dr. Mohd. Shukuri menjelaskan, salah satu kelebihan enzim ini adalah sifatnya yang ‘biodegradable’ dan mesra alam.
Menurutnya, enzim itu boleh terurai dengan cepat selepas menjalankan fungsinya tanpa meninggalkan sisa berbahaya.
“Dalam tempoh beberapa hari, enzim ini dapat memecahkan bahan pencemar, berbeza dengan racun atau bahan pencemar lain yang memerlukan bertahun-tahun untuk terurai.
“Pendekatan ini sejajar dengan prinsip-prinsip Alam Sekitar, Sosial, dan Tadbir Urus (ESG) kerana ia mengutamakan kelestarian alam sekitar dan keselamatan manusia,” jelasnya.
Dalam pada itu, dari segi pengkomersialan, inovasi ini telah melalui pemfailan paten oleh UPM bagi melindungi hak intelektual.
Setakat ini, penyelidikan masih berada di peringkat makmal, dengan penghasilan dalam skala kecil
Langkah seterusnya adalah meningkatkan skala pengeluaran bagi aplikasi lebih luas di ladang pertanian dan kawasan yang tercemar.
“Kita sedia untuk menjalinkan kerjasama dengan syarikat luar yang sanggup untuk mengambil lesen untuk mengkomersialkan inovasi ini di pasaran,” jelas Dr. Mohd. Shukuri .
Melalui inovasi yang dihasilkan itu, petani di Malaysia mendapat manfaat daripada teknologi hijau yang praktikal dan berimpak tinggi.
Penggunaan enzim tersebut berpotensi meningkatkan produktiviti ladang, melindungi kesihatan petani dan menyokong agenda keterjaminan makanan negara.














