fbpx

Sistem amaran awal bantu kurangkan kesan puing

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pasukan penyelidik UTM melakukan kerja-kerja teknikal penyaluran data.

JUMLAH bencana global akibat cetusan perubahan iklim telah meningkat sebanyak 83 peratus dalam tempoh dua dekad.

Dalam tempoh itu, ia telah menyebabkan kerugian ekonomi sebanyak 3 trilion dengan lebih 4 bilion orang terjejas.

Malaysia telah memberi komitmen terhadap agenda pengurangan risiko bencana seperti yang termaktub pada United Nations for Disaster Risk (UNDRR) Reduction Sendai

Framework for Disaster Risk Reduction 2015-2030 (SFDRR2030) dan pelaksanaannya diterajui Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

Antara tujuh sasaran global adalah melibatkan sistem amaran awal (EWS) dan hebahan risiko komunikasi, selaras dengan pelancaran agenda global terbaru menerusi inisiatif Early Warning for All (ES4A) 2023-2027.

Selaras dengan itu, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menerusi Pusat Pencegahan dan Kesiapsiagaan Bencana (DPPC) Malaysia-Japan International Institute of Technology (MJIIT) dan Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) sedang menjalankan satu kerjasama pintar.

Kerjasama itu melalui projek perintis pembangunan sistem amaran awal bencana geologi tanah runtuh serta aliran puing di Jerai Geopark, Yan, Kedah bagi tempoh 2022 hingga 2024.

Menurut Pengarah DPPC, Khamarrul Azahari Razak, pemasangan sistem amaran awal bencana aliran puing dibuat susulan bencana geologi aliran puing dan tanah runtuh pada 18 Ogos 2021 di kawasan Gunung Jerai.

Ujarnya, kejadian itu telah mengorbankan enam orang mangsa, merosakkan harta benda, infrastruktur dan geotapak di kawasan Gunung Jerai dengan kerosakan berjumlah RM75 juta.

Dia memaklumkan, kejadian itu telah memberi impak terhadap industri pelancongan dan sistem sekuriti pengeluaran makanan.

Lawatan penanda aras oleh pakar-pakar di kawasan Resilience Living Lab, Jerai Geopark.

“Pembangunan EWS telah menggunakan teknologi termaju dari Jepun merangkumi penderia wayar (wire sensor), penderia getaran (vibration sensor), siren dan lampu amaran.

“Menara EWS dan Rumah Kita (lokasi panel EWS) telah dibangunkan dengan kerjasama agensi awam, swasta, akademia, badan bukan kerajaan, jaguh setempat dan komuniti Jerai Geopark,” katanya.

Tambahnya, menurut UNDRR, sistem amaran awal dapat mengurangkan kerosakan dan kerugian sebanyak 30 peratus.

Negara yang mempunyai sistem amaran awal terhad merekodkan kadar kematian lapan kali ganda lebih tinggi berbanding negara mempunyai sistem amaran awal komprehensif.

Kongsinya lagi, sistem amaran awal bencana geologi aliran puing yang pertama seumpamanya di Malaysia itu telah mengadaptasi konsep 3E (Early Information, Early Decision, & Early Action) serta direka bentuk dengan penglibatan langsung komuniti dan pelbagai agensi.

Ia bagi mempertingkatkan kadar capaian bunyi siren kepada komuniti di kawasan rentan, integrasi sistem amaran awal bersama sistem amaran awam dengan kerjasama Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.

Selain itu, penyaluran data ke pihak berkuasa setempat telah dilaksanakan menggunakan aplikasi teknologi Internet of Things (IoT) dan sistem risiko komunikasi pintar.

“Buat julung kalinya, program Pengurangan Risiko Bencana Aliran Puing Dipacu Komuniti telah dilaksanakan pada 20 Ogos lalu bagi memperingati kejadian bencana di kawasan Jerai Geopark dua tahun lalu.

“Program ini juga menyokong pembangunan strategik pengurangan risiko dan pengukuhan daya tahan setempat.

“Pelbagai program pemerkasaan komuniti termasuk sesi latih amal telah dilaksanakan bersama komuniti setempat, pelajar-pelajar sekolah dan guru, agensi serta jaguh setempat,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI