fbpx

1,101 PATI ‘Little Dhaka’ masuk jerat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Allaudeen (depan sekali) ketika meninjau PATI di Pulapol, Kuala Lumpur selepas melakukan serbuan Ops Khas KDNKA di Jalan Silang, pagi tadi.

KUALA LUMPUR – Seramai 1,101 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam Ops Khas Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) di Jalan Silang atau Little Dhaka’ di sini, pagi ini.

Kesemua mereka termasuk dua kanak-kanak diberkas pada pukul 11 pagi hasil pemeriksaan terhadap 60 premis kerana gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, operasi ini bertujuan membanteras pelbagai jenayah dan aktiviti tidak sihat dalam kalangan PATI di kawasan tersebut.

Polis merampas 100 karton rokok bernilai RM22,000, 80 karton arak (RM48,000) dan ubat-ubatan tanpa kelulusan Kementerian Kesihatan (KKM) bernilai RM34,530.

“Terdapat juga premis yang menjual pelbagai ubat-ubatan tanpa kelulusan KKM seperti ubat demam dan ubat-ubat biasa mereka guna. Besar kemungkinann untuk kegunaan PATI ini.

“PATI yang ditahan ada yang bekerja dan ada juga yang pergi ke kawasan sekitar itu untuk aktiviti lain. Sebelum ini kita ada terima lima laporan berkaitan jenayah di lokasi sama.

“Setakat ini pecahan berapa ramai jantina dan warganegara masih belum dapat diputuskan kerana masih dalam proses saring lagi,” katanya pada sidang akhbar di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di sini, hari ini.

Tambah Allaudeen, pihaknya juga menerima maklumat tentang aktiviti pelacuran yang dijalankan di sekitar kawasan itu namun perlu menjalankan siasatan lanjut.

Operasi bersepadu itu terdiri daripada 1,138 pegawai dan anggota daripada Briged Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA), Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU), dan Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur.

Turut serta dalam operasi ini adalah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Unit Anjing Pengesan (K9), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) dan Kastam Diraja Malaysia.

Pegawai dan anggota lain termasuklah Jabatan Imigresen (JIM), Angkatan Pertahanan Awam, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan KKM.

Dalam pada itu, Allaudeen berkata, kesemua PATI diserahkan kepada JIM untuk tindakan di bawah Seksyen 6 (3) Akta Imigresen 1959, Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959, Seksyen 15 (4) Akta Imigresen 1959 dan Seksyen 15 (1)(c) Akta Imigresen 1959 dan Peraturan 39 (b) Peraturan Imigresen 1963.

“Kita memang serius sesuai dengan hasrat kerajaan untuk memastikan negara bebas PATI. Seperti kita tahu banyak subsidi digunakan oleh PATI tanpa kawalan.

“Selepas ini kita akan menjalankan pula operasi lain ke kawasan-kawasan yang menjadi tumpuan warga asing. Kalau saya cakap ini pun, mesti semua dah dapat agak di kawasan mana.

“Kita harapkan pada orang ramai untuk menyalurkan maklumat keberadaan PATI serta aktiviti-aktiviti lain yang melanggar undang-undang,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI