fbpx

Taktik penyeludupan di Sungai Golok berubah ketika banjir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Azudin (dua dari kanan) menunjukkan bot getah yang merupakan aset terbaharu yang diterima Briged Kelapan Infantri selepas Perbarisan First Responder Op Murni 8 Briged di Kem Pengkalan Chepa, Kota Bharu hari ini.

KOTA BHARU – Taktik sindiket penyeludupan untuk menyeludup pelbagai barangan sentiasa berubah semasa limpahan air Sungai Golok yang mengakibatkan kebanyakan kawasan sempadan negara terjejas banjir ketika ini.

Panglima Briged Kelapan Infantri, Brigadier Jeneral Datuk Azudin Hassan berkata, pihaknya sentiasa mengkaji tindak-tanduk sindiket penyeludupan terutamanya semasa musim banjir semasa menjalankan penugasan Ops Merpati.

Menurutnya, berdasarkan pemerhatian, kegiatan penyeludupan di sempadan masih berlaku semasa banjir apabila golongan tersebut mengubah taktik mereka.

“Sebelum ini, kemungkinan mereka melakukan kegiatan menyeludup pada waktu Maghrib dan Subuh. Semasa banjir, mungkin penyeludup mengubah waktu kerja mereka pada waktu siang semasa banjir.

“Jadi, anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sentiasa dinamik dalam menjalankan tugas di sempadan negara untuk mengesan kegiatan mereka,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Perbarisan First Responder Op Murni 8 Briged di Kem Pengkalan Chepa di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Azudin memberitahu, sehubungan itu, ATM sentiasa mengkaji pergerakan licik sindiket penyeludupan terutamanya semasa musim banjir.

Katanya, sindiket penyeludup akan mengambil kesempatan untuk menjalankan kegiatan mereka tidak kira sama ada musim banjir atau sebaliknya.

“Briged Kelapan Infantri menjalankan tugasan sejauh 85 kilometer di Sungai Golok dan kawasan jalan darat di Kelantan. Jadi, penugasan kita juga sentiasa berubah-ubah mengikut situasi,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Azudin berkata, pihaknya sentiasa bersiap sedia untuk membantu agensi-agensi penyelamat yang lain pada musim banjir terutamanya di Kelantan dan Terengganu kecuali di daerah Kemaman.

Menurutnya, setakat ini, seramai 4,500 keanggotaan ATM akan bergerak sekiranya keadaan banjir di kedua-dua buah negeri itu semakin buruk sehingga menyebabkan ramai mangsa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS).

“Luruan angin monsun dijangkakan akan berlaku pada 22 dan 23 Disember ini. Jadi, anggota ATM sentiasa bersiap sedia dengan segala kemungkinan selepas ini.

“Briged Kelapan Infantri ketika ini fokus dengan situasi banjir di beberapa daerah di Kelantan dan Terengganu. Aset-aset ATM akan digunakan secara menyeluruh sekiranya keadaan banjir semakin meruncing,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI