fbpx
Tujuan utama prosedur radiologi adalah untuk membolehkan pasukan perubatan mengetahui perkara yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar terutamanya pada bahagian dalaman tubuh manusia. Antara prosedur radiologi ialah x-ray, MRI, CT scan, mamografi, ultrasound dan lain-lain. - Foto SYAKIR RADIN

Radiologi tunjang dalam dunia perubatan moden

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

‘POP’, itulah bunyi yang dapat didengari sebaik sahaja lutut Faris Iskandar, 30, diterjah dari belakang oleh pemain lawan dalam satu perlawanan futsal.

Rasa sakit pada ketika itu tidak dapat digambarkan dengan kata-kata dan dia terpaksa dipapah keluar oleh rakan-rakannya yang lain.

“Tanpa melengahkan masa, saya terus ke hospital berdekatan untuk mendapatkan rawatan.

“Doktor yang merawat mengatakan bahawa saya mungkin berhadapan kecederaan pada ligamen iaitu Anterior Cruciate Ligament (ACL).

“Bagi mendapatkan kepastian, saya perlu melalui prosedur radiologi dengan melakukan pengimejan resonans magnet (MRI),” katanya ketika ditemu bual K2 baru-baru ini.

Tambahnya, setelah melalui prosedur itu, imej MRI nyata menunjukkan bahawa ACL Faris telah terputus.

Berdasarkan apa yang dilalui oleh Faris, ia menunjukkan prosedur radiologi merupakan satu cabang yang penting dalam dunia perubatan.

Ketua Jabatan Radiologi Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Shahizon Azura Mohamed Mukari berkata, radiologi merupakan satu prosedur penting dalam menyokong perkhidmatan utama di hospital seperti pasukan pembedahan lain.

Salah seorang petugas Jabatan Radiologi HCTM melihat imbasan CT scan pada skrin komputer.

Menurutnya, tujuan utama prosedur radiologi adalah untuk membolehkan pasukan perubatan mengetahui perkara yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar terutamanya pada bahagian dalaman tubuh manusia.

“Kita di Jabatan Radiologi mempunyai modaliti atau unit yang boleh digunakan untuk melihat masalah di dalam badan setiap pesakit.

“Modeliti yang paling asas adalah radiografi am, di mana kita melakukan pemeriksaan sinar X (X-ray) pada tubuh badan manusia.

“Ini boleh dikatakan sebagai satu bentuk saringan permulaan,” katanya sewaktu sambutan Hari Radiografi Sedunia peringkat UKM baru-baru ini. Hari Radiografi Sedunia disambut setiap 8 November.

Tambahnya, kadangkala pemeriksaan X-ray yang dilakukan tidak memberikan diagnosis terperinci.

Justeru, pihaknya akan meneruskan langkah seterusnya iaitu melakukan imbasan lanjut menggunakan modeliti pengimejan lain di Jabatan Radiologi.

Antaranya adalah tomografi berkomputer (CT scan), MRI, ultrasound dan lain-lain pemeriksaan yang boleh dilakukan untuk mengenal pasti dengan lebih terperinci masalah kesihatan dihadapi pesakit.

Pemeriksaan radiologi amat penting dalam dunia perubatan terutamanya mengesan masalah pada setiap pesakit.

Untuk makluman, terdapat pelbagai jenis pemeriksaan radiologi yang merangkumi radiografi am atau X-ray, CT scan, MRI, mamografi, angiografi, fluoroskopi, ultrasound dan pelbagai lagi modeliti pengimejan.

Setiap satunya mempunyai fungsi dan kelebihan tersendiri bagi mengesan dengan lebih tepat masalah dihadapi.

Mengulas lanjut, Dr. Shahizon Azura berkata, begitu juga buat mereka yang berhadapan risiko kanser payudara, di mana ia boleh dikesan secara terperinci melalui pemeriksaan mamografi.

“Melalui pemeriksaan mamografi, kita dapat menentukan sama ada simptom barah payudara itu tepat atau tidak.

“Kebanyakan pesakit yang berhadapan dengan risiko kanser payudara akan datang melakukan pemeriksaan jika merasa ada ketulan.

“Pakar yang melakukan pemeriksaan awal akan menyerahkan pesakit itu kepada Jabatan Radiologi bagi membolehkan prosedur mamografi dilakukan,” jelasnya.

SALAH seorang pesakit melakukan ujian CT scan
di HCTM.

Tambahnya, prosedur itu dilakukan bagi melihat dengan jelas sama ada ketulan itu bahaya atau tidak.

Ia juga akan menentukan jenis rawatan susulan yang paling optimum kepada pesakit.

Lazimnya, apabila prosedur mamografi dilakukan, pakar dapat mengetahui dengan lebih tepat tentang ciri ketulan itu sama ada bahaya atau tidak.

Kebiasaannya, jika ketulan itu berbahaya, pemeriksaan CT scan akan dijalankan bagi mengetahui tahap perebakan penyakit dihadapi.

“Prosedur CT scan dilakukan untuk melihat sama ada barah telah merebak ke paru-paru, hati atau tulang.

“Malah, kita dapat mengetahui tahap kanser payudara ini dengan menjalani imbasan CT scan.

“Oleh itu, prosedur ini sangat penting bagi membolehkan pakar membuat keputusan paling tepat tentang jenis rawatan diperlukan pesakit,” jelas Dr. Shahizon Azura.

Mengulas tentang prosedur CT scan, pengurus Jabatan Radiologi, HCTM UKM, Mohamad Norman Mohd. Nordin menjelaskan, ia merupakan salah satu pemeriksaan radiologi yang menggunakan sinaran X-ray.

“Berbanding dengan pemeriksaan X-ray, imbasan CT scan menghasilkan imej secara keratan rentas.

“Imej keratan rentas yang diambil boleh diproses untuk melihat dengan lebih mendalam dan terperinci organ, tisu lembut serta tulang dalam tubuh pesakit.

“Hasil akhir imej ini boleh dilihat dan dinilai melalui teknologi rekonstraksi pelbagai plana (multiplanar reconstruction), 3D dan 4D,” katanya yang juga merupakan ketua juru X-ray di hospital tersebut.

Tambahnya, melalui imbasan itu, ia akan memberi sudut pandangan berbeza kepada pakar untuk membuat keputusan dengan cepat dan tepat.

Dengan keupayaan CT scan yang dilengkapi teknologi kecerdasan buatan (AI), pelbagai imbasan sangat terperinci, pantas dan tepat boleh dilakukan bagi mengesan sebarang masalah pesakit.

Antara imbasan yang boleh dilakukan adalah pada otak, paru-paru, abdomen, buah pinggang, hati, koronari dan lain-lain lagi.

Malah, Jabatan Radiologi, HCTM dilengkapkan dengan pelbagai modeliti pengimejan yang terkini, berteknologi tinggi dan termaju di rantau ini.

Mengulas lanjut, Mohamad Norman berkata, secara ringkas, radiologi merupakan satu bidang pengimejan perubatan untuk melakukan pemeriksaan ke atas pesakit dengan menggunakan sinaran radiasi.

Menurutnya, ada sesetengah pesakit yang takut untuk melalui prosedur radiologi kerana takut kepada kesan sinaran radiasi.

“Sebenarnya kesan daripada sinaran radiasi yang digunakan dalam bidang radiologi ini sangat rendah.

“Ini kerana, radiasi yang digunakan sangat sensitif bagi menghasilkan imej X-ray.

“Kita menggunakan mesin-mesin yang semakin canggih dan sinaran radiasi juga rendah.

“Namun, imej yang dihasilkan amat baik dan beresolusi tinggi,” jelasnya.

Sementara itu, tidak semua modeliti dalam radiologi menggunakan sinaran radiasi dan salah satunya adalah MRI.

MRI adalah pengimejan perubatan diagnostik tidak invasif untuk menghasilkan imej struktur anatomi badan manusia beresolusi tinggi, selain dapat membezakan dengan jelas tisu berpenyakit dengan normal.

Berbeza dengan CT scan, MRI tidak mendedahkan pesakit kepada radiasi disebabkan tiada penggunaan X-ray dalam proses pengimejan tersebut.

Teknik pengimejan MRI menggunakan teknologi moden dan canggih untuk menghasilkan tindak balas antara medan magnet yang kuat dengan gelombang frekuensi radio.

Ia bagi menghasilkan imej beresolusi tinggi berbanding modaliti lain seperti X-ray, CT scan dan lain-lain.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN