fbpx

Penduduk bandar digalak bina kebun komuniti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohamad ketika melawat tanaman padi yang terdapat di Kelab Kebun Rumah Pangsa AU2 di Taman Keramat hari ini.

KUALA LUMPUR – Penduduk bandar digalakkan untuk bercucuk tanam menggunakan tanah-tanah terbiar di kawasan mereka sekaligus memperbanyakkan kebun komuniti dalam kawasan bandar.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, langkah tersebut membolehkan pengeluaran sendiri bahan makanan dalam kalangan masyarakat bandar.

“Kalau kita bawa kereta dalam bandar, (boleh lihat) banyak tanah kosong naik belukar. Kadang-kala kawasan itu hendak buat perumahan sementara tunggu kelulusan yang mengambil masa tiga hingga empat tahun.

“Dalam tempoh itu sebenarnya, tanah itu boleh digunakan untuk tanaman kontan seperti cili, serai, daun-daun ulam dan juga ternakan. Kita tengok ada belukar antara rumah pangsa atau padang yang tidak digunakan boleh tanam cili.

“Usaha ini perlu dilebarkan ke seluruh negara supaya jangan ada tanah belukar terbiar di tengah bandar. Daripada segi tenaga ramai yang berpencen masih bertenaga,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melawat Projek Kebuniti oleh Kelab Kebun Rumah Pangsa AU2 di Taman Keramat dekat sini hari ini.

Terdapat lebih 150 tanaman diusahakan di kawasan perumahan tersebut oleh penduduk setempat termasuk nangka, durian, mangga dan padi serta ternakan itik dan ikan keli.

Kebun komuniti berkenaan menggunakan Sistem Pengumpulan Air Hujan untuk pengairan dan Sistem Pengkomposan Sisa sebagai bahan organik tanaman.

Mohamad berkata, kebun komuniti dalam kawasan bandar telah pun dilaksanakan di Jepun secara besar-besaran sehinggakan terdapat sawah di tepi pasar raya.

Ujar beliau, penduduk yang berminat mewujudkan kebun komuniti di kawasan mereka boleh memohon peruntukan yang disediakan oleh kerajaan sebanyak RM1 bilion dibawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) untuk program-program komuniti.

“Permohonan peruntukan berdasarkan kawasan Parlimen. Untuk projek kebun komuniti kena mohon awal,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI