fbpx
NOOR AZIAH menyifatkan bilangan kes penderaan kini tinggi seiring dengan ilmu masyarakat yang tahu suatu yang berlaku itu adalah penderaan dan melaporkannya. - Gambar hiasan

Anak OKU ujian terbesar ibu bapa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

DEWASA ini, kita dikejutkan dengan pelbagai berita berkaitan kes pengabaian dan penganiayaan terhadap kanak-kanak.

Terbaharu, kejadian tragis melibatkan seorang anak autistik Zayn Rayyan yang dibunuh dan dikaitkan dengan seksual membuatkan timbul persoalan sejauh manakah keselamatan kanak-kanak di negara ini terutama kalangan anak kelainan upaya.

Bagi mengulas lanjut isu berkaitan kanak-kanak ini, wartawan Kosmo! Ahad, SITI SARAH NURUL LIYANA menemu bual Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) yang juga profesor undang-undang dalam keluarga, wanita dan kanak-kanak, Fakulti Undang-Undang Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Datuk Noor Aziah Mohd. Awal.

KOSMO! AHAD: Sejak kebelakangan ini, kes penderaan dan pengabaian kanak-kanak di negara ini semakin serius. Dari Januari hingga Mei tahun ini sebanyak 2,959 kes telah dikendalikan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Apakah faktor utama kepada kewujudan kes-kes ini?
NOOR AZIAH: Jumlah kes 2,959 ini sangat membimbangkan bagi tempoh lima bulan. Antara faktor berlakunya penderaan terhadap kanak-kanak ialah perbalahan dalam keluarga, masalah kewangan, sifat panas baran dan hilang kawalan diri, elemen kecuaian dan tingkah laku anak yang sukar dikawal.

Antara punca lain kanak-kanak didera bagi tahun 2016 hingga 2020 ialah kanak-kanak mengikut teman lelaki, perbalahan keluarga, masalah kewangan, kecuaian ibu bapa dan penagihan dadah.

Setujukah jika dikatakan kes penderaan atau pengabaian kanak-kanak kini semakin buruk dan dahulu, misalnya kira-kira 20 tahun lalu tidak mempunyai kadar yang serius seperti hari ini? Jika ya, mengapakah wujud perbezaan ini?
Saya tidak setuju penderaan dan pengabaian tidak serius pada 20 tahun lalu. Ramai orang pada masa itu tidak tahu pun apa yang mereka lakukan kepada anak-anak mereka adalah satu penderaan atau pengabaian.

Penderaan selalu disebut sebagai mendisiplin. Ramai antara kita selalu sebut ‘saya mungkin tidak jadi orang kalau cikgu tak balun saya’ atau ‘saya mungkin tidak berjaya kalau ayah tidak rotan saya’.

Itu cukup menggambarkan yang bercakap itu pernah didera. Kesannya dia ingat sampai akhir hayat.

Orang tiada ilmu anggap pukul, dera, cubit, ketuk ketampi adalah cara terbaik mendidik anak. Jika anak cedera parah atau luka, ada ubat diubat di rumah dan tidak dibawa ke hospital.

Kalau anak didera sampai mati pun, tiada yang akan tahu kerana tiada yang merasakan itu suatu kesalahan.

Saya pernah lihat seorang kanak-kanak lelaki 10 tahun diikat di pokok yang ada kerengga dan dijemur. Bagi saya itu yang sangat zalim. Tiada siapa berani masuk campur kecuali arwah ayah saya, seorang imam yang disegani.

Arwah buka ikatan dan lepaskan kanak-kanak itu. Ayah kanak-kanak itu tak berani bersuara.

Kenapa kes sekarang tinggi adalah kerana sudah berilmu dan tahu itu penderaan dan melaporkan kepada polis. Sekarang ahli keluarga dan jiran tetangga lebih peka.

Sebelum ini, ada ibu bapa yang memukul atau merotan anak-anak untuk tujuan mendidik. Namun kini, apabila perkara itu dilakukan ia dianggap sebagai mendera. Apakah pendapat Prof. mengenai perkara ini? Perlukah ada garis panduan antara pukul mendidik dan mendera?
Pada pandangan saya, kita telah mendidik masyarakat supaya tidak memukul anak untuk mendisiplinkan mereka.

Kanak-kanak patut dididik dengan kasih sayang.

Semua orang ada tanggung jawab memastikan kanak-kanak merasa selamat dan sihat.

Baru-baru ini, semakin kerap kanak-kanak hilang ketika di bawah penjagaan ibu bapa atau penjaga. Adakah kanak-kanak yang hilang ketika bersama ibu bapa di luar rumah adalah satu bentuk pengabaian? Perlukah ibu bapa dihukum atas kecuaian itu?
Pengabaian dan kecuaian ini sering berlaku kerana kita ini manusia yang sering buat kesilapan.

Kita terlepas pandang dan akhirnya kanak-kanak yang menerima nasib malang dan cedera atau menemu ajal. Cuai juga sangat sukar dibeza dengan kemalangan dan ramai menerimanya sebagai takdir.

Ramai tidak bersetuju dengan saya supaya tindakan diambil terhadap ibu bapa yang cuai atau abai.

Ramai yang tidak setuju kerana hukuman bagi ibu bapa yang cuai ialah kehilangan anaknya itu untuk selamanya!

Tetapi jika yang abai itu pengasuh, kita dakwa. Kenapa?

Jika tiada seseorang pun berada di atas undang-undang (no one is above the law), maka tindakan perlu diambil kepada sesiapa sahaja yang melakukan kesalahan tersebut.

Pastinya menjaga anak kelainan upaya (OKU) bukanlah mudah. Situasi ini, pasti memberi tekanan kepada ibu bapa sehingga menyebabkan ada yang mengambil jalan mudah seperti mengurung mereka dan sebagainya. Adakah tindakan itu salah di sisi undang-undang walaupun ia dilakukan untuk memudahkan tugas?
Anak yang OKU adalah ujian Allah yang paling besar kepada ibu bapanya. Allah tak akan uji kita kecuali Allah tahu kita adalah orang yang mampu menerima dugaan itu.

Anak OKU adalah manusia biasa yang ada perasaan dan ada hak yang telah ditetapkan.

Mereka patut dilayan seperti kanak-kanak normal.

Ibu bapa yang ada anak istimewa ini perlu mendapatkan latihan atau kursus bagaimana mengendali kanak-kanak istimewa ini.

Kerajaan juga patut membantu keluarga yang tidak mampu untuk mendapatkan bimbingan ini. Kita bantu ibu bapa, demi bantu anak-anak ini.

Baru-baru ini, ada sepasang suami isteri ditahan kerana menyebabkan seorang kanak-kanak berusia enam tahun kurang zat sehingga maut. Ada pihak berpendapat, ibu bapa itu tidak perlu dipersalahkan sepenuhnya kerana mungkin mereka alami masalah kewangan untuk membeli makanan berzat. Apakah pendapat Prof. mengenai kes ini?
Ibu bapa yang tidak mampu mesti ke Jabatan Kebajikan Masyarakat, pusat zakat atau mana mana institusi yang boleh memberi bantuan.

Saya tahu ramai yang merasa malu untuk meminta bantuan.

Dalam masa yang sama, masyarakat dan agensi kerajaan perlu ambil perhatian kes-kes seperti ini supaya ia tidak berulang lagi.

Pada pendapat Prof. adakah hukuman yang sedia ada bagi menghukum pesalah terhadap kanak-kanak cukup setimpal. Adakah perlu ditambah baik bagi membendung isu berkenaan?
Undang-undang sedia ada sudah mencukupi dan yang penting ialah penguatkuasaan terhadap undang-undang tersebut.

Salah satu isu besar ketika ini adalah gangguan seksual terhadap kanak-kanak. Apakah usaha yang boleh dilakukan oleh semua pihak bagi membendung masalah ini?
Jenayah seksual terhadap kanak-kanak perlu dilaporkan. Sesiapa yang tahu mengenainya perlu membuat laporan polis.

Pelaku perlu dibawa ke mahkamah dan dihukum.

Bagi saya, semua pihak perlu mainkan peranan dalam menangani isu gangguan seksual terhadap kanak-kanak.

Di sekolah pula macam mana? Bolehkah guru rotan murid atas dasar disiplin?
Masa kerajaan meluluskan Akta Kanak-Kanak 2001, hasratnya mahu memberhentikan semua jenis penyeksaan kepada kanak-kanak termasuk rotan di sekolah.

Namun, Kementerian Pendidikan Malaysia menolak cadangan tersebut dan rotan masih dikekalkan di sekolah tetapi mengikut pekeliling tertentu.

Sebenarnya rotan hanya boleh dikenakan bagi kesalahan seperti merokok dan dadah.

Hukuman ini juga perlu dilaksanakan mengikut tatatertib sekolah.

Mencubit, tampar dan ketuk ketampi semua tidak boleh dikenakan kepada pelajar, tapi berapa ramai guru yang ikut pekeliling ini?

Sebab itu Malaysia masih membuat reservasi terhadap artikel 37 CRC (Konvensyen Hak Kanak-kanak).

Bagi saya, sekolah adalah tempat selamat dan menggembirakan kanak-kanak dan bukan tempat yang dibenci dan ditakuti.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN