fbpx

Selebriti popular meriahkan acara larian tudung Ariani

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Lisa Surihani (kanan sekali) merupakan antara selebriti yang memeriahkan program Ariani Hijab Run.

KUALA LUMPUR – Jenama tudung terkenal Ariani menyerahkan sumbangan tabung bencana RM30,000 kepada Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) pada program Ariani Hijab Run yang diadakan di hadapan House of Ariani, di sini, hari ini.

Pengarah Pemasaran Ariani Datin Seri Farah Haryani Muhammad Philip berkata, sumbangan itu sebahagian daripada usaha pihaknya dalam memberi sokongan kepada komuniti pada saat memerlukan.

“Ini sebagai tanggungjawab sosial korporat Ariani. BSMM sentiasa berada di barisan hadapan dalam membantu mangsa bencana dan misi bantuan kemanusiaan.

“Saya bersyukur atas kejayaan program ini dan mengucapkan terima kasih kepada komuniti serta pelanggan setia kami. Saya berharap agar acara larian seperti ini dapat menjadi tradisi bagi Ariani dalam mendorong gaya hidup sihat dalam kalangan wanita di negara kita,” katanya.

Sumbangan itu diserahkan kepada Setiausaha Kehormat Kebangsaan BSMM, Hakim Hamzah oleh Pengarah Urusan Kumpulan Jakel, Datuk Seri Faroz Mohamed Jakel.

Ariani Hijab Run 2023 merupakan penganjuran kali kedua selepas tujuh tahun sejak edisi pertamanya pada 2016.

Acara itu mendapat sambutan hangat dengan penyertaan 3,200 peserta, yang majoritinya adalah wanita dari pelbagai peringkat usia dan latar belakang.

Menariknya, larian ‘Fun Run’ sejauh 3.5 kilometer (km) dan 6km itu turut disertai tiga selebriti yang juga duta Ariani iaitu Datin Lisa Surihani, Bella Dally dan Uyaina Arshad.

Bella atau nama sebenarnya, Nabilah Ali Dally, 32, berkata, acara kali ini tidak hanya tertumpu pada larian semata-mata.

“Ariani Hijab Run juga diserikan dengan karnival mini yang penuh dengan pelbagai aktiviti menarik dan permainan khusus untuk kanak-kanak dan aktiviti keluarga, seperti menangkap ikan, yang menjadi daya tarikan bagi ibu bapa membawa anak-anak mereka.

“Suasana di perkarangan House of Ariani meriah dengan siri aktiviti yang dijalankan, termasuk pemeriksaan kesihatan percuma, serta pelbagai gerai jualan makanan dan minuman, menambahkan lagi keceriaan acara,” katanya.

Ariani Hijab Run 2023 turut mendapat kerjasama dan sokongan padu daripada pelbagai jenama ternama termasuk Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM), KPJ Ampang Puteri, POKKA, Daia, Habib, Gleneagles Hospital, Move Fitness, Good Virtues Co, Chomel, Bonda Haven, Kina Cosmetics, dan Fazs Faozi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI