fbpx

Dari Wang Tepus ke persada dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sabarina (lima kiri) bergambar bersama kumpulan teater Mek Mulung sebaik tiba di Alor Setar kelmarin. – SHAHIR NOORDIN

ALOR SETAR – Perjuangan dua anak seni dalam memartabatkan warisan Mek Mulung sejak lima dekad lalu akhirnya mendapat pengiktirafan apabila seni teater tradisional itu mendapat pengiktirafan daripada Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Kamarusdin Debak, 68, dan rakan seperjuangannya, Ishak Man, 62, merupakan antara 11 peserta delegasi Mek Mulung dari Wang Tepus yang ke Kasane, Botswana bagi mengadakan persembahan sebelum terpilih sebagai Senarai Warisan Budaya Tidak Ketara yang Memerlukan Perlindungan Segera.

Mek Mulung merupakan suatu adunan kesenian yang telah digabungkan dalam sebuah persembahan terdiri daripada unsur-unsur lakonan, nyanyian, tarian dan muzik.

Ia merupakan teater tradisional masyarakat Melayu yang sangat popular di Kedah dan menjadi hiburan rakyat di negeri tersebut sejak zaman dahulu lagi.

Menurut Kamarusdin selaku pemuzik dalam teater tradi­sional itu, beliau mewakili semua pihak yang terlibat dalam bidang tersebut berbesar hati apabila perjuangan mereka memartabatkan seni itu akhirnya menerima pengiktirafan.

“Saya sudah berkecimpung dalam bidang ini sejak berusia sembilan tahun dan pelbagai cabaran sudah kami lalui terma­suk pada 2011 apabila Mek Mulung hampir terkubur kerana dipandang sepi.

“Namun, banyak pihak membantu termasuk Jabatan Ke­senian dan Kebudayaan Negeri (JKKN) yang banyak membantu dan terbaharu, Mek Mulung sudah mendapat pengiktirafan dari­pada UNESCO. Perasaan saya tidak boleh gambarkan bagaimana lagi,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Abdul Halim (LTSAH) di sini kelmarin.

Antara persembahan yang disajikan kumpulan teater Mek Mulung dari Kedah di Kasane, Botswana baru-baru ini. – IHSAN JKKN

Mek Mulung terpilih sebagai Senarai Perwakilan Warisan Budaya Tidak Ketara yang Memerlukan Perlindungan Segera oleh UNESCO pada 5 Disember lepas.

Menerusi pengiktirafan antarabangsa seperti itu, Ishak berharap Mek Mulung akan terus dipersembahkan dan dihargai di seluruh dunia terutama untuk tontonan generasi akan datang.

“Ini sebenarnya kali pertama Mek Mulung pergi ke peringkat antarabangsa, melihat ia dipersembahkan di hadapan orang ramai dari seluruh dunia membuatkan saya sangat bangga,” tambahnya yang berkecimpung dalam bidang ini sejak berusia 11 tahun.

Ishak yang memegang watak pelawak dalam Mek Mulung itu berkata, pihaknya gembira apabila Mek Mulung kini sudah mempunyai pelapis hasil kerjasama agensi terlibat.

“Generasi terawal Mek Mulung di Wang Tepus ini seramai 18 orang tetapi kini tinggal kami berdua sahaja. Alhamdulillah melalui kerjasama dengan JKKN, banyak pelapis baharu dilahirkan,” katanya.

Tambahnya, paling manis apabila mereka mendapat jemputan untuk mengadakan persembahan pada majlis makan malam usai sesi pemilihan itu.

Sementara itu, Pengarah JKKN Kedah, Sabarina Masadi berkata, jabatan itu merancang untuk te­rus menggerakkan tea­ter tersebut pada masa hadapan untuk terus menghidupkannya.

“Antara inisiatif yang dirancang termasuk kerjasama erat dengan peminat teater Mek Mulung untuk menghasilkan modul yang boleh dijadikan rujukan.

“Kami juga akan mengadakan bengkel untuk mewujudkan kumpulan perantis dan menyediakan platform dan peluang kepada kumpulan ini untuk mengamalkan Mek Mulung,” tambahnya.

Pada 5 Disember lalu, Mek Mulung menerima pengiktirafan pada sesi ke-18 Jawatankuasa Antara Kerajaan bagi Pemuliharaan Warisan Budaya Tidak Ketara di Kasane, Botswana.

Ketika sesi itu, sebanyak 45 warisan budaya dari seluruh dunia disenaraikan, namun hanya enam daripadanya diiktiraf sebagai memerlukan pemuliharaan segera termasuk Mek Mulung.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI