fbpx

Konflik Palestin-Israel: Wanita, kanak-kanak korban terbesar perang Gaza

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Wanita dan kanak-kanak melarikan diri daripada serangan udara askar Israel di sebatang jalan di Bandar Gaza pada 11 Oktober lalu. – AFP

BANDAR GAZA – Satu laporan dikeluarkan sebuah pertubuhan kemanusiaan mendapati bahawa Gaza adalah satu daripada lokasi paling berbahaya di dunia untuk didiami golongan wanita, lapor akhbar Palestine Chronicle kelmarin.

Menurut ActionAid, ia didorong oleh tahap keganasan meningkat yang dilakukan ke atas golongan tersebut di wilayah yang terkepung itu sejak serangan askar Rejim Zionis pada 7 Oktober lalu, lapor agensi berita Palestin, WAFA.

“Wanita dan kanak-kanak di Gaza mengalami tahap keganasan yang tidak pernah berlaku sebelum ini, menjadikan wilayah yang terkepung itu satu daripada lokasi paling berbahaya di dunia untuk golongan berkenaan.

“Dua orang ibu terbunuh setiap jam di Gaza dan tujuh wanita mati setiap dua jam.

“Secara keseluruhan, wanita dan kanak-kanak merangkumi hampir 70 peratus daripada jumlah kematian keseluruhan,” kata laporan ActionAid.

Tambah laporan sama, situasi yang lebih buruk dialami oleh wanita hamil di Gaza dengan anggaran 50,000 orang sedang menantikan kelahiran cahaya mata.

“Setiap hari, 180 wanita merisikokan nyawa mereka untuk melahirkan anak tanpa penjagaan kesihatan yang mencukupi.

“Ini termasuk melahirkan anak secara pembedahan dan pembedahan kecemasan tanpa penstrilan peralatan, ubat bius atau ubat penahan sakit,” jelas laporan itu.

Sabtu lalu, jurucakap Kementerian Kesihatan Palestin di Gaza mendedahkan bahawa penembak tepat askar Israel yang ditempatkan di sekitar Hospital Al-Awda di utara Gaza telah membunuh dan mencederakan beberapa wanita hamil yang sedang dalam perjalanan ke hospital.

Dalam perkembangan terbaharu semalam, pihak berkuasa Israel menangkap 142 wanita termasuk bayi dan warga emas semasa serangan darat askar Rejim Zionis di Gaza.

“Menurut maklumat yang kami ada, tahanan-tahanan wanita tersebut dipenjarakan di beberapa penjara Israel termasuk penjara Damon dan Hasharon,” kata kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Hal Ehwal Tahanan dan Persatuan Tahanan Palestin.

Dalam perkembangan berlainan, Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Dr. Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata, askar Israel melancarkan lebih 449 serangan ke atas perkhidmatan kesihatan di Gaza dan Tebing Barat sejak 7 Oktober lalu, lapor laman berita TRT World.

Bercakap dalam sesi khas yang dianjurkan mengenai situasi kesihatan di Gaza kelmarin, Tedros berkata, keadaan itu menyukarkan usaha kakitangan kesihatan di wilayah tersebut untuk melaksanakan tugas mereka.

“Sehingga 1.9 juta orang kehilangan tempat tinggal, ia adalah hampir menyamai populasi keseluruhan Semenanjung Gaza.

“Mereka mencari perlindungan di mana-mana sahaja yang ada, namun tiada satu pun dan seorang pun yang berada dalam keadaan selamat di Gaza,” katanya.

Tegas Tedros, hanya 14 daripada jumlah asal iaitu 36 hospital di Gaza masih berfungsi sebahagiaannya.

“Disebabkan lebih ramai penduduk berpindah ke kawasan sempit dan terlalu sesak serta diburukkan lagi dengan kekurangan makanan, air, perlindungan dan sanitasi, ia mencetuskan keadaan ideal untuk jangkitan penyakit,” ujarnya.

Menurut Tedros, secara purata, terdapat satu unit bilik mandi untuk setiap 700 orang serta satu tandas untuk digunakan setiap 150 penduduk di Gaza ketika ini. – AGENSI

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI