fbpx

‘Hilang rindu, beban kami tanggung selama ini’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Siti MARIAH (tengah) yang menghilang diri selama lapan tahun mencium ibunya di samping bapanya di sisi sebaik mereka bertemu di rumah di Kampung Sireh, Naka dekat Kuala Nerang kelmarin.

KUALA NERANG – “Sebelum ini setiap kali jumpa budak perem­puan sebaya anak, saya akan peluk dan cium mereka sebab nak lepas rindu. Banyak tahun macam itu sejak anak hilang. Alhamdulillah sekarang anak pe­rempuan sudah balik, saya peluk kak long puas-puas.”

Demikian luah Che Safuan Abd. Rahman, 61, ketika ditemui di rumahnya di Kampung Sireh, Naka dekat sini kelmarin, beberapa jam selepas kepulangan anak kesayangannya, Siti Mariah Hamzah, 39, yang menghilangkan diri sejak lapan tahun lalu.

Menurut Che Safuan, tidurnya sejak beberapa hari lepas tidak nyenyak apabila dimaklumkan pihak polis tentang perkembangan terbaharu anaknya itu yang berada Labu, Negeri Sembilan dan bakal pulang ke pangkuan keluarga.

“Alhamdulillah terubat rindu dan hari ini (semalam) buat laksa makanan kegemaran dia. Apabila sampai tadi, terus peluk untuk lepas rindu dan hilang rindu.

“Sudah balik seronok, saya pun rindu semua itu dan apabila semua anak sudah berkumpul jadi seronoklah terubat rindu.

“Macam hilang beban dan kerinduan yang kami rasa setiap hari sebelum ini sejak dia menghilangkan diri,” katanya ketika ditemui di rumahnya.

Menurutnya, mereka sekeluarga menerima dengan ikhlas kepulangan Siti Mariah tanpa sebarang rasa kecewa atau marah kecuali kegembiraan yang tidak terhingga.

“Semuanya macam dulu-dulu juga, kak long tetap macam dahulu walaupun badan dia sedikit berisi. Perangainya masih macam dahulu, dia seorang yang peramah tetapi tegas,” ujarnya.

Kata penoreh getah itu, keluarganya dimaklumkan Siti Mariah yang sudah berkahwin kini menjalankan perniagaan kecil-kecilan dan menetap di Labu.

“Sebagai ibu, saya ha­nya doakan yang baik-baik semoga ikatan keluarga kami ini kukuh. Alhamdulillah terkabul hasrat saya untuk kak long kembali sebelum pejam mata,” katanya.

Bapa Siti Mariah, Hamzah Said, 65, yang juga seorang penoreh berkata, keluarganya enggan lagi memperkatakan apa yang terjadi sebelum ini.

“Alhamdulillah, apa yang penting anak sulung saya, kak long sudah balik. Bila sampai rumah tadi kami berpelukan dan kak long mencium dan memohon ampun maaf kepada kami berdua.

“Adik beradik lelaki dia pun ada tadi, kami sangat gembira hari ini sehingga tak tergambar perasaan,” jelasnya.

Menurut Siti Mariah pula, kepulangannya itu bukan sekadar melepaskan kerinduan sejak sekian lama, tetapi membawa sejuta pengharapan untuk kehidupan baharu yang diidam-idam­kan selepas ini bersama keluarganya itu.

“Ada banyak yang ingin saya perbetulkan selepas ini, semoga Allah permudahkan segala urusan saya. Saya minta maaf banyak-banyak kepada mak dan ayah kerana sudah lama tak balik (rumah), memang rindu sangat-sangat.

“Inilah tempat saya dilahirkan, tempat bermain memang sangat rindu. Saya nak mulakan hidup baharu minta sangat segala urusan selepas ini dipermudahkan. Terima kasih kepada mereka semua yang tolong cari saya,” katanya.

Siti Mariah yang tidak bercakap banyak itu sekali sekala memeluk ibu bapanya, sekali gus membayangkan kerinduan ma­sing-masing.

“Saya berharap untuk memulakan kehidupan dan melupakan semua kisah yang berlaku sebelum ini,” katanya.

Kosmo! pada 21 November lalu melaporkan tentang rayuan seorang ibu kepada anak perempuannya supaya segera pulang selepas lapan tahun menghilangkan diri.

Che Safuan Abd. Rahman, 61, dilaporkan berkata, anak sulung daripada empat beradik, Siti Mariah Hamzah, 39, hilang selepas bekerja di sebuah bank secara kontrak di ibu negara.

Siti Mariah adalah graduan Universiti Malaysia Sarawak dalam bidang kaunseling.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI