fbpx

Konflik Palestin-Israel: 91 peratus isi rumah Gaza kelaparan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Penduduk Palestin berbaris untuk mendapatkan makanan di Gaza, bulan lalu. - Foto AFP

BANDAR GAZA  – Laporan terbaharu  oleh Program Makanan Dunia (WPF) mendedahkan bahawa 91 peratus isi rumah di Gaza tidur dalam keadaan lapar manakala 63 peratus lagi tidak makan selama beberapa hari, lapor portal berita Wion News semalam.

Penilaian singkat tentang keterjaminan makanan itu dijalankan semasa gencatan senjata kemanusiaan dari 24 hingga 30 November lalu dan penemuannya diterbitkan  minggu lepas.

Ketika perang antara Israel dan Hamas memuncak, WPF menghadapi masa sukar untuk menyediakan makanan dan bantuan berkaitan kepada penduduk Palestin di Semenanjung Gaza.

Sejak konflik bermula selepas serangan tentera Israel pada 7 Oktober lalu, Semenanjung Gaza kekal dalam kepungan Rejim Zionis dengan hanya satu lintasan sempadan dibuka untuk menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada penduduk wilayah Palestin itu.

Laporan itu menyatakan, 42 peratus isi rumah di pentadbiran Gaza dan Gaza Utara manakala 35 peratus isi rumah di pentadbiran selatan iaitu Deir Al Balah, Khan Younis serta Rafah mengetahui tentang penduduk yang terpaksa makan makanan mentah untuk mengatasi kelaparan.

Keadaan kekurangan makanan adalah lebih buruk di utara berbanding selatan Gaza, demikian menurut laporan WPF. 

Bantuan kemanusiaan itu tertumpu di selatan Gaza di mana ia dibawa masuk melalui lintasan Rafah di Mesir. 

Bagaimanapun, sejak perjanjian gencatan senjata kemanusiaan berakhir pada 1 Disember lalu dan pertempuran  semakin sengit, penyaluran bantuan menjadi sangat perlahan.

Kekurangan gas memasak yang teruk juga menyebabkan pergantungan berat kepada sumber yang kurang bersih seperti kayu api dan sisa kayu sekali gus meningkatkan risiko penyakit pernafasan.

Penduduk di utara Gaza hanya mempunyai 1.8 liter air bersih bagi setiap orang dalam tempoh sehari manakala jumlahnya merosot  kepada 1.5 liter setiap orang di selatan Gaza. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI