fbpx

Mantan Panglima TUDM jadi inspirasi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Asghar Khan menyampaikan anugerah Piala Panglima Tentera Udara (Terbaik Keseluruhan Sayap Kaku) kepada graduan, Leftenan Muhammad Salihin pada Perbarisan Penyampaian Sayap Penerbangan Kursus Asas Penerbangan Siri 84/22 dan Kursus Asas Penerbangan Helikopter Siri 64/22 di KTU di Alor Setar, hari ini. Foto oleh SHAHIR NOORDIN/KOSMO!

ALOR SETAR – Setelah berjaya mengharumkan nama negara sebagai individu keempat berjaya menamatkan kursus di Akademi Tentera Udara Amerika Syarikat (USAFA), Leftenan Muhammad Salihin Mohd. Sabri, 25, hari ini sekali lagi mencipta sejarah manis untuknya.

Juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) itu dinobatkan sebagai penerima Piala Panglima Tentera Udara (Pelatih Terbaik Keseluruhan Sayap Kaku) pada perbarisan sempena Sayap Penerbangan Kursus Asas Penerbangan Siri 84/22 dan Kursus Asas Penerbangan Helikopter Siri 64/22 di Kolej Tentera Udara (KTU) di sini.

Anak kedua dari tiga adik beradik itu memberitahu, minat mendalam bidang bidang tersebut sejak kecil mendorongnya memilih kerjaya tersebut selain termotivasi dengan bapa saudaranya, yang juga bekas Panglima Tentera Udara, Leftenan Jeneral Tan Sri Abdul Ghani Abdul Aziz.

“Setiap kali bertemu bapa saudara, saya banyak bertanya mengenai skop kerja sebagai juruterbang sehinggalah saya mula meminati kerjaya sebagai juruterbang TUDM.

“Syukur kerana hari ini saya terpilih sebagai pelatih terbaik berkat kerja keras dan doa semua termasuk keluarga serta kawan-kawan,” katanya ketika ditemui selepas perbarisan tersebut.

Sementara itu, Leftenan Saw Jie Sheng, 23, berkata, dia berbangga apabila mengharumkan nama ibu bapanya, Saw Chuan Hin, 59 dan Ooi Bee Yong, 58, apabila menjadi individu pertama dalam keluarga mereka menjadi juruterbang TUDM.

“Saya ingin mengikut jejak langkah bapanya yang merupakan pesara Tentera Laut Diraja Malaysia (TUDM), manakala abang saya Saw Jie Hao,31, pula adalah Tentera Darat.

“Saya memang meminati bidang ketenteraan disebabkan ramai ahli keluarga adalah tentera, namun saya mencuba nasib sebagai tentera udara disebabkan tiada ahli keluarga yang menyertai TUDM,” kata generasi ketiga keluarga itu yang memilih bidang ketenteraan.

Menurut Leftenan R Sanjeshwaren, 23, pula, dia mendapat inspirasi untuk menyertai TUDM disebabkan tiada sentimen perkauman dalam ketenteraan.

“Saya tidak berasa terasing ataupun bersendirian disebabkan rakan-rakannya tidak pernah membezakan dirinya dengan mereka. Saya berbangga apabila berjaya menamatkan latihan, sekaligus menerima sayap penerbangan bersama rakan lain,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI