fbpx

‘Dah larang sebab suami demam tapi dia tetap nak pergi kerja’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Siti Noor Haliza Ramli (dua dari kiri) bersama tiga beradik yang lain turut berada di ruangan Forensik Hospital Parit Buntar untuk membawa balik jenazah abang mereka ke Kampung Simpang Taiping hari ini.

PARIT BUNTAR – “Suami nak juga pergi kerja walaupun dalam keadaan demam dan saya telah melarangnya,”

Itu luahan, Norhana Osman, 41, isteri kepada seorang pekerja Syarikat Projek Penyelenggaraan Lebuh Raya Berhad (Propel), Ahmad Termizi Ramli, 45, yang rentung dalam kemalangan membabitkan dua buah kenderaan van dan lori di kilometer 198.4 arah Utara di Lebuh Raya Utara Selatan pada tadi.

Menurut Norhana, dia tidak menyangka tekad suaminya untuk pergi bekerja walaupun dalam keadaan kurang sihat merupakan petanda ajal sebelum ‘pergi’ buat selama-lamanya.

“Saya larang dia pada pagi tadi tapi dia tetap berkeras untuk ke tempat kerja. Tak sangka itu tanda ajalnya tiba walau pun saya telah melarangnya untuk ke tempat kerja kerana saya kasihankan melihat keadaan kesihatannya yang masih belum pulih sepenuhnya dari demam,” katanya ketika ditemui di ruangan menunggu Forensik Hospital Parit Buntar disini hari ini.

Menurutnya, dia mendapat tahu berita yang menimpa suaminya daripada rakan suaminya.

“Bila dimaklumkan suami kemalangan, saya tertanya-tanya bagaimana tentang keadaannya sama ada dia hanya mengalami kecederaan atau sebaliknya. Rakan pada mulanya tidak sampai hati untuk memberitahu keadaan suami namun setelah dia memaklumkan suami pergi dalam keadaan menyayat hati, saya tergamam tanpa dapat bersuara.

“Waktu kejadian dia membawa pekerja memotong rumput dan baru sahaja menurunkan pekerja di lokasi. Sewaktu dia berada di dalam van, difahamkan dia baru sahaja menjamah makanan sebelum sebuah lori terbabas dan merempuh van terbabit lalu terbakar,” katanya hiba.

Adik mangsa, Siti Noor Haliza Ramli, 26 pula memaklumkan arwah merupakan anak yang sering mengutamakan ayahnya dan sering pulang ke kampung setiap minggu di Selinsing untuk bersama ayahnya yang kini potong kaki akibat penyakit saraf.

Terdahulu, media melaporkan seorang maut dalam keadaan rentung selepas terbabit dalam kemalangan membabitkan van dan lori muatan makanan kering di Kilometer 198.4 Lebuh Raya Utara Selatan arah utara.

Jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Simpang Taing selepas solat Asar hari ini. – KOSMO! ONLINE

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, & TikTok

TERKINI