fbpx

Pengalaman berharga Izzlin dibukukan untuk suntik semangat usahawan baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Izzlin menunjukkan buku terbaharu yang dilancarkan di Kuala Lumpur baru-baru ini.

PETALING JAYA – Menjadi seorang usahawan dengan membina empayarnya sendiri bukan datang dengan idea sekelip mata atau masa sehari untuk mencatat kejayaan tetapi perlu dibina dengan pelbagai jerih perih, pengorbanan masa, duit dan tenaga untuk mencapai ke tahap yang membanggakan.

Pastinya kisah cabaran, kecekalan, semangat dan kehidupan usahawan itu mahu dikongsikan bersama dengan masyarakat bagi memberi panduan kepada peniaga baharu apatah lagi kepada golongan muda untuk mengoperasikan perniagaan masing-masing.

Semangat kuat Pengasas syarikat Mamamuda, Izzlin Azhar yang sebelum ini pernah menjadi pengusaha butik dan pengeluar produk penjagaan kesihatan khususnya untuk wanita telah berjaya mengatasi segala cabaran dalam perniagaan sejak tahun 2010 telah membuatkan beliau terpanggil untuk menghasilkan buku bertajuk Saat Aku Jatuh dan Bagaimana Aku Bangkit Semula.

Menurut beliau, buku dengan 196 muka surat itu ditulis berdasarkan pengalaman sendiri menceritakan tentang bagaimana beliau  membina jenama daripada sekecil-kecil modal hinggalah meraih jualan ratusan ribu ringgit kemudian  jatuh dan  terpaksa menutup perniagaan yang diusahakannya selama ini.

“Buku ini juga mengambil inspirasi daripada semangat ayah saya sebelum ini yang terlibat dalam jualan beras untuk meningkatkan ekonomi keluarga.

“Ayah gigih berusaha menambah pendapatan dengan mengusahakan perniagaan sendiri yang membekalkan pelbagai barang ke kilang-kilang dan dia juga tidak pernah berhenti daripada memajukan perniagaannya sendiri walaupun telah bersara,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan.

Mengulas lanjut mengenai perjalanan hidupnya dalam dunia perniagaan, Izzlin menerangkan, beliau memulakan bisnes dengan mengusahakan butik dengan menjual pakaian wanita seperti jubah, tudung dan baju kurung moden.

Bagaimanapun, perniagaan di bawah jenama Bakawali Couture tersebut hanya bertahan selama enam tahun sahaja kerana beliau diserang sakit misteri selepas balik daripada menjayakan pertunjukan fesyen Islamik di Jakarta, Indonesia.

“Sakit misteri yang saya alami menyebabkan pemikiran saya bercelaru, hilang fokus, tidak boleh pergi ke pejabat dan secara langsung dan tidak langsung emosi dan kesihatan saya terjejas. Ini menyebabkan saya mengambil keputusan nekad menutup operasi butik pakaian tersebut,” jelasnya.

Setelah kembali pulih, usahawan wanita ini tidak berhenti begitu sahaja, semangatnya terus menyala untuk berjuang dalam bidang bisnes lain  dengan menjual produk penjagaan kesihatan dalaman wanita.

Beliau berpesan, setiap individu yang ingin berniaga perlu mempunyai jiwa yang kental, tabah, sentiasa positif dan mempunyai azam yang tinggi dalam setiap perniagaan yang diusahakan.

“Fahami kehendak pelanggan, dalam masa yang sama perlu mahir mengendalikan aspek perkilangan, pengurusan kewangan syarikat, pengurusan sumber manusia (kakitangan) dan sentiasa peka untuk mengubah eko-sistem perniagaan yang diusahakan.

“Semua elemen ini penting agar, perniagaan yang diusahakan dapat bertahan dan relevan dengan perubahan gaya hidup dan teknologi khususnya melibatkan teknologi komunikasi,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI