fbpx

Pengarah syarikat dituduh miliki diesel tanpa lesen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AW Weng Yu (kanan) hadir ke Mahkamah Sesyen Seremban bagi berdepan pertuduhan memiliki barang kawalan berjadual minyak diesel untuk syarikat dan persendirian tanpa lesen. Foto oleh NUR SHARIEZA ISMAIL/ KOSMO!

SEREMBAN – Seorang pengarah syarikat dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seremban di sini hari ini, atas pertuduhan memiliki barang kawalan berjadual minyak diesel untuk syarikat dan persendirian tanpa lesen.

Tertuduh Aw Weng Yu 49, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas jurubahasa membacakan pertuduhan terhadapnya di depan Hakim, Mazni Nawi.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh iaitu orang kena saman (OKS) yang mewakili syarikat Ten Star Resources Sdn. Bhd. didapati mempunyai dalam milikan barang kawalan berjadual iaitu minyak diesel sebanyak 1,200 liter.

Bagi kertas pertuduhan lain yang dibaca berasingan, tertuduh yang juga Pengarah Syarikat Ten Star Resources, didapati mempunyai dalam milikan barang kawalan berjadual iaitu minyak diesel sebanyak 1,200 liter yang mempunyai pelanggaran kepada Peraturan 18(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

Kedua-dua pertuduhan itu dilakukan di alamat Lot 6265, Mukim Gemencheh, Tampin kira-kira pukul 7 petang pada 14 Julai lalu.

Ketika prosiding, Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Nazarudin Zainuddin memohon mahkamah satu tarikh bagi serahan dokumen dan representasi.

Mazni kemudiannya menetapkan sebutan semula kes pada 7 Februari depan. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI