fbpx

Konflik Palestin-Israel tidak jejas hubungan diplomatik Malaysia, AS, Eropah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohamad

KUALA LUMPUR – Pendirian tegas Malaysia dalam konflik Palestin-Israel tidak menjejaskan hubungan diplomatik dengan negara-negara lain termasuk Amerika Syarikat (AS) dan Eropah.

Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin berkata, Malaysia sentiasa menjaga hubungan diplomatik walaupun dengan negara yang tidak sepemikiran dalam konflik Palestin-Israel.

Menurut beliau, terdapat banyak contoh menunjukkan Malaysia sentiasa menjalin kerjasama dengan negara terbabit tanpa melibatkan isu konflik Palestin-Israel.

“Hubungan dagang dengan negara Eropah diperhebatkan. AS pun kita teruskan hubungan baik, bahkan mereka adalah negara dagang yang cukup besar dan penting kepada Malaysia

“Kita kena ‘draw the line’ isu kemanusiaan di Palestin dengan hubungan diplomatik, tetapi kita beri penjelasan dan penerangan kenapa perlu bersolidariti dengan rakyat Palestin.

“Menteri Luar dalam pertemuan dengan menteri Brazil baru-baru ini ini berbincang isu Palestin. Alhamdulillah Brazil bersama dengan kita untuk menunjukkan solidariti dan menyokong hak perjuangan rakyat Palestin,” katanya pada sidang Dewan Negara di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai sama ada Wisma Putra mengambil pendekatan komprehensif kepada negara yang berlainan pendirian berhubung konflik Palestin-Israel.

Terdahulu, Mohamad menerangkan, pendirian Malaysia berhubung konflik Palestin-Israel tiada beza dengan pendirian terhadap konflik Ukraine-Rusia.

Menurut beliau, pendirian itu jelas memperlihat pendekatan berprinsip negara dan hak berdaulat Malaysia menyatakan pendirian tanpa ada rasa tekanan atau gentar.

Kata beliau, Malaysia menggiatkan interaksi tidak terhad kepada negara-negara sepemikiran dalam usaha mewujudkan kefahaman dan kesedaran menyeluruh terhadap isu Palestin.

“Sebagai contoh, Duta Besar Malaysia ke AS, Datuk Seri Nazri Aziz sentiasa berhubung dengan pegawai kanan Jabatan Negara termasuk pada 18 Oktober 2023 bagi menyatakan pendirian Malaysia terhadap konflik ini.

“Seterusnya menggesa kuasa-kuasa besar untuk turut membantu menegakkan undang-undang kemanusiaan yang sewajarnya di Semenanjung Gaza.

“Berkat usaha dan rundingan yang dijalankan oleh Malaysia serta negara-negara dunia lain di pelbagai platform pertubuhan antarabangsa ini, Israel dan Hamas telah mencapai kesepakatan gencatan senjata dan kemanusiaan serta pembebasan tebusan,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan asal Senator Datuk Noraini Idris mengenai komitmen Duta-duta Besar Malaysia ke negara luar dalam menyampaikan pendirian Malaysia terhadap jenayah peperangan di Palestin.

Menjawab soalan tambahan Noraini pula, beliau menegaskan Malaysia masih dapat memainkan peranan untuk mengheret Israel ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) walaupun bukan negara anggota Statut Rom.

Tambah beliau, Malaysia malah akan menjalin kerjasama dengan negara-negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) serta negara sepemikiran untuk segera membawa Israel ke muka pengadilan.

Jelas beliau, antara peranan boleh Malaysia lakukan adalah bekerjasama dengan pejabat pendakwa raya ICC bagi menyampaikan dokumen perundangan atau memudahkan kehadiran saksi-saksi yang boleh menyokong kes.

“Kita juga sedang menghimpunkan negara-negara mempunyai pemikiran sama termasuk negara anggota OIC untuk mengumpul dana dan sumbangan bagi melicinkan proses pendakwaan apabila Israel diheret ke ICC.

“Malaysia bersedia memberi nasihat pandangan kepada Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), bahkan telah mengemukakan ‘return submission’ kepada ICJ tentang pandangan kita mengenai kekejaman Israel.

“Insya-Allah kita juga akan mengambil bahagian untuk mengemukakan ‘oral submission’ di ICJ pada 19 Februari 2024,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI