fbpx

Bukan mustahil TFC bawa pulang Piala Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ZULHARISHAM merupakan kapten Terengganu terakhir yang menjulang trofi Piala Malaysia selepas memenanginya pada edisi 2001.

‘Jangan gentar dan berjuang sehingga wisel penamat’.

Itu pesanan bekas ketua pasukan Terengganu, Zulharisham Awang kepada pemain Terengganu FC (TFC) menjelang final Piala Malaysia, Jumaat ini.

Beliau yang kini berusia 48 tahun, merupakan kapten skuad generasi emas Terengganu yang kali terakhir menjulang trofi Piala Malaysia pada 2001 menewaskan Perak 2-1.

Zulharisham yang terkenal dengan jolokan kereta kebal skuad Penyu percaya skuad TFC kendalian Tomislav Steinbruckner memiliki peluang seimbang bertemu Johor Darul Ta’zim (JDT).

Sehubungan itu, beliau mahu skuad Sang Penyu tidak berasa kerdil atau gentar meskipun skuad Harimau Selatan bakal turun dengan reputasi gergasi bola sepak negara dan bertaraf jaguh peringkat Asia.

“Semua tahu kualiti dimiliki JDT dengan senarai pemain serba lengkap di semua posisi, namun itu bukan alasan untuk kita mengalah sebelum masuk ke gelanggang.

“Tiada yang mustahil dalam bola sepak kerana kita turun 11 lawan 11, malah TFC juga memiliki kualiti tersendiri,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Kuala Terengganu semalam.

Jelasnya, sewaktu menjulang Piala Malaysia 22 tahun lalu, Terengganu sebenarnya ketinggalan pada aksi final tersebut sebelum bangkit mencipta kejayaan.

“Tempoh beberapa hari sebelum sepak mula dengan JDT harus dimanfaatkan untuk memastikan pemain berada pada tahap kecergasan terbaik.

“Ia sebagai persediaan sekiranya aksi (final) di Stadium Nasional Bukit Jalil itu nanti mungkin berlanjutan ke masa tambahan atau penentuan penalti,” katanya.

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, & TikTok

TERKINI