fbpx

Tiga premis kitar semula terbakar beroperasi secara haram

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sharifah Zakiah (tiga dari kanan) mendapat penerangan daripada pegawai bomba berhubung kebakaran premis kitar semula di Bukit Selambau, Sungai Petani hari ini.

SUNGAI PETANI – Tiga premis kitar semula yang terbakar sehingga mencetuskan letupan ‘bunga api’ dalam kejadian di Bukit Selambau, di sini malam semalam disyaki beroperasi secara haram.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, premis-premis tersebut dipercayai menjalankan aktiviti memproses dan menyimpan buangan terpakai seperti asid, bateri terpakai, sisa elektronik dan sekerap logam.

Katanya, aktiviti berkenaan tertakluk kepada Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan peraturan-peraturan di bawahnya.

“Berdasarkan maklumat yang diterima daripada pegawai Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Petani yang terlibat dalam operasi pemadaman, terdapat asid, bateri terpakai dan sekerap logam di dalam premis yang terbakar.

“Buat masa ini, pegawai JAS masih belum dibenarkan masuk untuk mengambil sampel kerana kebakaran masih belum dapat dipadamkan sepenuhnya. Kerja-kerja pemadaman serta pencegahan api daripada merebak dengan membuat fire break masih dijalankan sehingga hari ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, merujuk kepada aktiviti yang dijalankan oleh ketiga-tiga premis, ia tertakluk kepada Aktiviti 14(b)(ii) Perintah Kualiti Alam Sekeliling (aktiviti yang ditetapkan)(penilaian kesan kepada alam sekeliling) 2015 Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

“Walau bagaimanapun, semakan rekod mendapati Kelulusan Laporan EIA (penilaian impak alam sekitar) hanya pernah diluluskan oleh jabatan ini pada 11 Jun 2020 bagi premis ketiga yang menjalankan proses pulih guna buangan-buangan terjadual.

“Premis itu juga tidak membuat sebarang permohonan lesen untuk beroperasi selepas mendapat kelulusan EIA. Sementara dua lagi premis tidak pernah merujuk atau mendapat apa-apa kelulusan dari JAS dan disyaki beroperasi secara haram,” jelasnya.

Ujarnya, pelaksanaan sebarang aktiviti tanpa kelulusan laporan EIA merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 34A(6) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 34A(8) akta sama yang memperuntukkan denda maksimum RM500,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

“Bagi peletakan atau penstoran bahan yang dikategorikan sebagai buangan terjadual pula adalah kesalahan di bawah Peraturan-peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 dan mandatori penjara maksimum lima tahun,” katanya.

Tambahnya, pemantauan kualiti udara 24 jam juga telah dilaksanakan oleh JAS bermula hari ini dengan menggunakan peralatan Grimm dan Cerex bagi memantau kualiti udara di lokasi kejadian dan bagi mengesan jika terdapat gas pencemar berbahaya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI