fbpx

‘Pembedahan lancar tapi sel barah serang otak’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kanser limfoma dihidapi Ibnor Riza kini sudah menyerang bahagian otak hasil imbasan CT atau Computed Tomography Scan.

PETALING JAYA – Kanser limfoma yang dihidapi penyanyi popular era 1980-an, Ibnor Riza kini sudah menyerang bahagian otak hasil imbasan CT atau Computed Tomography Scan.

Perkara itu dikongsikan isterinya, Sarimah Sulaiman yang meminta orang ramai terus mendoakan kesihatan suaminya dalam menghadapi situasi serba mencabar ini.

Begitupun katanya, semangat Ibnor sentiasa kuat biarpun menanggung kesakitan sebelum menjalani pembedahan mengeluarkan air di kepalanya pada Sabtu lalu.

“Doakan kesihatan abang Ibnor. Malam tadi (semalam) pembedahannya yang mengambil masa dua jam berjalan lancar, Alhamdulillah.

“Cuma dimaklumkan sel barah sudah menyerang bahagian kepalanya. Apa pun kita meminta kepada Allah kerana dia sebaik-baik pelindung,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online.

Menurut Sarimah atau Seri, 51, yang juga bekas peserta Kilauan Emas, buat masa ini suaminya masih ditidurkan bagi tujuan pemantauan selepas operasi pembedahan.

Ibnor dimasukkan ke Hospital Canselor Tunku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia (HCTM), Cheras, sejak pertengahan November lalu.

Katanya lagi, berdasarkan pemeriksaan berkala, dia dimaklumkan kondisi Ibnor menunjukkan perkembangan yang sangat positif.

“Buat masa ini abang masih dalam wad pemantauan dan ditidurkan. Belum boleh terima pelawat termasuk ahli keluarga, tetapi pihak hospital sentiasa berkongsi maklumat terkini.

“Kami dimaklumkan tahap kesihatannya juga memberangsangkan dan ikutkan ahli keluarga terdekat boleh melawatnya sama ada hari ini atau esok.

“Sebenarnya bengkak pada tengkuknya juga sudah nampak surut selepas menjalani sesi kimoterapi baru-baru ini,” ujarnya.

Penyanyi Meneka Dalam Kesamaran itu dimasukkan ke hospital berikutan demam berpanjangan selain mengalami sakit kepala yang teruk.

Selepas pemeriksaan, didapati terdapat cecair pada kepalanya serta tanda jangkitan kuman yang memerlukannya menjalani pembedahan segera.

“Selepas buat kemoterapi pada 10 November lalu, suami saya terus demam dan keadaan itu berlarutan sampailah sebelum dia menjalani pembedahan.

“Rawatan kemoterapi itu pun sebenarnya kena diteruskan untuk sesi kedua, tapi tak dapat dibuat disebabkan demam,” ujarnya.

Sejak disahkan menghidap kanser limfoma pada Mac lalu, Ibnor membelanjakan sekitar RM80,000 bagi kos perubatan dengan menggunakan kesemua wang simpanan selain menjual tiga kereta.

Penyanyi itu juga mendedahkan masih perlu bekerja bagi menamping kos kemoterapi yang dianggarkan berjumlah RM200,000 untuk empat pusingan lagi di sebuah pusat perubatan swasta.
– KOSMO! ONLINE

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, & TikTok

TERKINI