fbpx

Pelan Liberalisasi Visa diteruskan, KKM belum keluar amaran – Saifuddin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Saifuddin beramah mesra selepas Sambutan Setahun Madani dan Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Kompleks Setia Perkasa, hari ini. FOTO - FAIZ ALIF ZUBIR

PUTRAJAYA – Kerajaan akan tetap meneruskan Pelan Liberalisasi Visa selama 30 hari bagi pelancong China dan India biarpun wujud kebimbangan rakyat dan trend peningkatan kes Covid-19 dalam negara ketika ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pelan itu akan berjalan mengikut perancangan seperti yang diumumkan sebelum ini.

Beliau berkata, setakat ini, pihaknya belum mendapat sebarang amaran terkini atau langkah berjaga-jaga daripada Kementerian Kesihatan (KKM) berhubung perkembangan terbaharu kes Covid-19 itu.

“Sehari dua ini disebut kembalinya Covid-19 dan saya juga mengikuti aduan rakyat. Saya dapat maklumat pihak sekolah yang mendakwa mereka sudah mula edarkan pelitup muka disebabkan terdapat guru dan murid terkena jangkitan.

“Sebelum melaksanakan pelan itu, kami sudah merujuk dan berpandukan kepada nasihat daripada KKM. Namun, setakat ini kami belum mendapat sebarang amaran terkini daripada KKM,” katanya pada sidang akhbar selepas menyempurnakan sambutan Setahun KDN Madani dan Perhimpunan Bulanan KDN, di sini hari ini.

Katanya, pihaknya tidak tahu sama ada jangkitan Covid-19 ketika ini berpunca dari faktor dalam negara atau luar.

Pada masa sama, katanya, kerajaan juga tidak berkompromi dengan faktor keselamatan negara di sebalik pelaksanaan pelan itu namun telah mengambil beberapa langkah persediaan.

Saifuddin berkata, ia termasuk keperluan pelancong untuk mengisi kad digital dalam tempoh tiga hari sebelum ketibaan bertujuan memantau pergerakan dan keberadaan mereka di negara ini.

Buat masa ini, katanya, pelancong dari dua negara berkenaan masih boleh melakukan pengisian kad digital sejurus tiba di pintu masuk, bagi membolehkan penyesuaian berlaku. – KOSMO! ONLINE

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, & TikTok

TERKINI