fbpx

Dasar Gaji Progresif fokus pekerja gaji bawah RM5,000, syarikat PKMS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Dasar Gaji Progresif akan memberi fokus terhadap pekerja yang menerima gaji bulanan di bawah RM5,000 sebulan.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, sebanyak 70 peratus golongan pekerja ketika ini menerima gaji bulanan bawah RM5,000.

Menurutnya, pendaftaran sebagai ‘Majikan Gaji Progresif’ pula akan diberi tumpuan terhadap perusahaan mikro kecil dan sederhana (PKMS) kerana 90 peratus syarikat di negara ini adalah PKMS dan mempunyai masalah untuk menaikkan gaji.

“Pekerja yang layak untuk didaftarkan haruslah menerima gaji bulanan tidak melebihi had gaji yang akan dicadangkan oleh Jawatankuasa Pelaksanaan Dasar Gaji Progresif. Pada tahun pertama pelaksanaan, cadangan had gaji ditetapkan untuk pekerja yang menerima gaji bulanan di bawah RM5,000 dan tidak kurang daripada gaji minimum.

“Cadangan ini mengambil kira jumlah pekerja yang menerima gaji bulanan dalam lingkungan RM1,500 kepada RM4,999 merangkumi 66.6 peratus atau seramai empat juta pekerja. Had gaji ditetapkan ini mampu memberi liputan cukup meluas untuk pekerja swasta menerima manfaat daripada inisiatif ini.

“Kita sedia maklum kita berada dalam ekonomi yang sebahagian besarnya pekerja swasta,” katanya ketika membentangkan usul Dasar Gaji Progresif di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Rafizi berkata, dasar Gaji Progresif dijangka memberi manfaat kepada 1.05 juta pekerja dengan tambahan nilai Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) RM3.3 bilion.

“Ia akan memberi tambahan kepada caruman KWSP sebanyak RM0.79 bilion, tambahan hasil cukai pendapatan RM1.8 bilion dengan tambahan 37,529 pembayar cukai pendapatan baharu pada tahun pertama pelaksanaan,” jelasnya.

Justeru, katanya, pelaksanaan Dasar Gaji Progresif akan dimulakan dengan projek rintis pada Jun 2024 melibatkan sebanyak 1,000 syarikat yang dipilih melalui proses yang menekankan sokongan dasar, tahap keperluan sektor dan kesaksamaan.

“Penilaian impak akan dibuat terhadap keberkesanan projek rintis dan ketersediaan dasar sebelum Dasar Gaji Progresif dilaksanakan secara menyeluruh,” katanya.

Terdahulu, beliau berkata, mekanisme Dasar Gaji Progresif meliputi tiga kriteria utama iaitu syarat penyertaan, cadangan kenaikan gaji tahunan dan insentif mengikut kadar dan kumpulan pekerja. – KOSMO! ONLINE

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, & TikTok

TERKINI