fbpx

7,684 mangsa banjir sejak Monsun Timur Laut bermula 11 November

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Seramai 7,684 mangsa daripada 1,976 keluarga ditempatkan di 49 pusat pemindahan sementara (PPS) meliputi 12 daerah di Kedah, Kelantan, Perlis, Selangor dan Terengganu sejak Monsun Timur Laut (MTL) bermula pada 11 Nov lalu.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak Dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, setakat pukul 6 pagi hari ini, sebanyak 123 keluarga melibatkan 426 mangsa banjir masih ditempatkan di lima PPS iaitu di Kelantan seramai 317 orang, Terengganu (22) dan Pahang (87).

“Sebagai peneraju kepada pengurusan bencana negara, Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) telah membuat penyelarasan awal bagi meningkatkan kesiapsiagaan semua PPS bersama dengan agensi utama yang bertanggungjawab di lapangan,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Siti Zailah Mohd. Yusoff (PN-Rantau Panjang) mengenai situasi terkini bencana banjir yang sedang melanda negara dan langkah segera Kerajaan Persekutuan dalam memastikan kebajikan mangsa banjir terjaga.

Armizan berkata, secara keseluruhan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menyediakan 8,481 PPS membabitkan sekolah (5,063), balai raya dan dewan (2,457), masjid dan surau (572), pusat komuniti (389) yang mempunyai kapasiti untuk menempatkan 1,620,855 mangsa di seluruh negara.

Menurut beliau, JKM telah melantik 868 pembekal barang keperluan asas dan 1,224 pembekal makanan sebagai persediaan menghadapi bencana tahun ini telah memaksimumkan 774 Fasiliti Penyimpanan Bantuan Bencana di seluruh negara mulai bulan September dan Oktober 2023.

“Antara penambahbaikan yang telah dilaksanakan adalah penyediaan makanan retort sebagai persiapan bagi tempoh 24 jam pertama mangsa tiba di PPS yang boleh diedarkan serta-merta sekiranya makanan bermasak masih belum dapat disediakan dalam keadaan tertentu seperti isu logistik.

“Setakat ini, sejumlah RM2 juta peruntukan telah disalurkan kepada JKM. Bekalan makanan retort ini telah mula digunakan di negeri-negeri yang mengalami banjir dalam musim ini.

“Selain itu, bermula MTL musim ini juga, kita telah melaksanakan penyewaan tandas bergerak (mobile toilet) untuk kegunaan PPS dengan peruntukan sebanyak RM10 juta,” katanya.

Selain itu, katanya, Kementerian Kewangan telah menyalurkan peruntukan lebih RM11 juta kepada JKM, manakala NADMA memperuntukkan RM10 juta bagi pelaksanaan projek-projek kecil baik pulih dan naik taraf untuk dilaksanakan di PPS secara berperingkat. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI