fbpx

Mahkamah: Mangsa banjir didakwa cabul dua budak perempuan di PPS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohamed Rashid (dua dari kiri) didakwa melakukan amang seksual terhadap dua budak perempuan di PPS di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini.

KUALA TERENGGANU – Seorang lelaki warga emas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan melakukan amang seksual terhadap dua kanak-kanak perempuan di sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) di Kuala Nerus pada minggu lalu.

Tertuduh, Mohammed Rashid Rahmat, 61, yang juga penganggur membuat pengakuan tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nooriah Osman.

Berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal ke atas seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun empat bulan.

Dia turut berhadapan pertuduhan kedua melakukan amang seksual fizikal ke atas seorang lagi kanak-kanak perempuan yang berumur tujuh tahun lima bulan.

Perbuatan itu didakwa dilakukan Mohamed Rashid di pekarangan koridor sebuah sekolah rendah yang dijadikan PPS di daerah Kuala Nerus antara pukul 6 petang hingga 8 malam, 22 November lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.

Kosmo! Online 23 November lalu melaporkan seorang mangsa banjir yang sedang ditempatkan di sebuah PPS di Kuala Nerus ditahan bagi membantu siasatan melakukan amang seksual terhadap dua budak perempuan.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan berkata, siasatan awal percaya suspek memperdaya kedua-dua mangsa kononnya untuk mengulangkaji pelajaran sebelum melakukan perbuatan keji tersebut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI