fbpx

187 sekolah Johor sedia dijadikan PPS menjelang monsun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEBANYAK 187 buah sekolah sedia untuk dijadikan sebagai Pusat Pemindahan Sementara (PPS) menjelang Monsun Timur Laut. - GAMBAR HIASAN

ISKANDAR PUTERI – Sebanyak 187 buah sekolah di negeri ini telah berada dalam keadaan bersiap siaga untuk dijadikan sebagai Pusat Pemindahan Sementara (PPS) menjelang ancaman banjir semasa tempoh Monsun Timur Laut (MTL).

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi Johor, Norlizah Noh berkata, sekolah terlibat merangkumi kesemua daerah di negeri ini.

Menurut beliau, setiap sekolah terlibat telah mengadakan mesyuarat bagi menyelaras situasi semasa banjir bersama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).

“Setiap daerah terlibat, dengan jumlah paling banyak melibatkan daerah Batu Pahat sebanyak 73 sekolah; Segamat (25 sekolah); Kluang (22 sekolah); Muar (16 sekolah) dan Tangkak (15 sekolah). Semua sekolah terlibat dalam keadaan siap siaga ketika ini.

“Johor perlu bersiap sedia berdepan monsun antara Disember hingga Januari akan datang, dimana pada tempoh itu sesi persekolahan masih lagi berlangsung. Oleh itu matlamat kita adalah memastikan sesi persekolahan tidak terganggu walaupun berlaku insiden banjir, ini termasuklah peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM),” katanya kepada pemberita di Kota Iskandar, di sini hari ini.

Tambah Norlizah, antara persediaan itu termasuklah bagi mengelakkan perabot sekolah serta buku-buku teks tidak musnah dalam bencana banjir seperti yang terjadi, sebelum ini.

“Kita telah belajar daripada pengalaman lalu dimana semua perabot atau perkakas yang berdepan risiko kerosakan akan dialihkan ke tempat selamat terlebih dahulu, kerana sebelum ini kerusi bangku semua rosak, jadi kali ini kita buat persiapan betul-betul.

“Manakala bagi calon-calon SPM pula, sekiranya sekolah mereka terjejas kita akan pindahkan mereka ke tempat bersesuaian untuk terus mengambil peperiksaan itu,” katanya.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI