fbpx

MOTAC bakal semak semula semua agensi urus umrah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) bakal menyemak semula semua syarikat agensi pelancongan khususnya yang menjalankan perniagaan berkaitan umrah.

Menterinya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, ini susulan insiden penipuan oleh segelintir agensi pelancongan pengurusan jemaah umrah yang masih berlaku walaupun pihaknya telah mengambil tindakan tegas terhadap syarikat terbabit.

“Sebelum ini terdapat aduan dan keluhan orang ramai khususnya jemaah umrah yang menjadi mangsa penipuan segelintir agensi pelancongan pengurusaan umrah yang tidak bertanggungjawab.

“Ada jemaah umrah yang tidak dibawa ke destinasi atau diberikan perkhidmatan yang sepatutnya seperti yang ditawarkan syarikat agensi pelancongan berkenaan,” katanya menerusi kenyataan.

Tambah King Sing, lebih duka cita, ada segelintir jemaah umrah yang gagal menghubungi syarikat agensi pelancongan apabila mereka tiba di lapangan terbang di Arab Saudi.

Bagi mengelakkan kejadian sama berulang, Timbalan Menteri, Khairul Firdaus Akbar Khan bakal mengetuai jawatankuasa semakan tersebut dan membentangkan laporan lengkap dalam tempoh sebulan.

“Jawatankuasa itu akan mengelaskan syarikat yang menjalankan perniagaan dengan baik dan sebaliknya serta buat laporan terperinci mengenai rekod syarikat sepanjang tempoh menguruskan jemaah umrah.

“Ini bagi memastikan syarikat agensi pelancongan lebih bertanggungjawab semasa menjalankan perniagaan dan tidak sesekali mengabaikan pelanggan masing-masing,” ulasnya.

Tambah King Sing, MOTAC juga akan menyelesaikan beberapa isu lain seperti harga serta prosedur permohonan boleh dibuat melalui MOTAC sebelum menyerahkan kepada agensi-agensi pelancongan yang bertanggungjawab.

“Selain dapat menjimatkan kos yang tidak perlu dikenakan kepada pelanggan, ia juga dapat membantu menyelesaikan semua perkara secara bersekali.

“Dalam pada itu, semua syarikat agensi pelancongan sama ada yang telah lama beroperasi mahupun syarikat baharu, perlu melaporkan setiap aktiviti berkaitan pelanggan mereka sepanjang perjalanan mengerjakan umrah kepada MOTAC.

“Ini bagi membolehkan MOTAC memantau secara dekat dan memastikan segala janji yang ditawarkan kepada pelanggan mereka dikotakan,” katanya.

Dalam pada itu, King Sing juga bakal mengadakan kunjungan hormat ke atas Duta Besar Arab Saudi ke Malaysia serta Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi untuk membincangkan tentang kuota. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI