fbpx

KUD @ Putrajaya platform usahawan desa majukan perniagaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar melawat gerai jualan yang disediakan sempena KUD@ Putrajaya di Anjung Floria hari ini. - Foto oleh FAISOL MUSTAPA / KOSMO!

PUTRAJAYA – Karnival Usahawan Desa (KUD) @ Putrajaya disifatkan menjadi platform terbaik bagi usahawan desa mendapat bimbingan kerajaan selain menjadi ruang mendapatkan bantuan khidmat nasihat dalam meningkatkan produktiviti serta mengembangkan perniagaan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, program itu menyasarkan penyertaan kementerian dan agensi yang turut menyediakan program pengukuhan keusahawanan serta pembiayaan kewangan kepada usahawan desa.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, penganjuran karnival kali ini turut memberi impak positif kepada produk keluaran usahawan tempatan.

“Ia bukan sahaja daripada segi jumlah jualan, tetapi paling penting dapat memberi persepsi positif bahawa kualiti produk usahawan tempatan khususnya usahawan desa adalah setanding dengan produk yang diimport dari luar negara.

“Adalah menjadi hasrat kerajaan untuk membentuk semangat keusahawanan yang utuh, bukan sahaja dalam kalangan para usahawan, malahan seramai mungkin rakyat Malaysia,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian KUD @ Putrajaya, di sini hari ini.

Teks ucapan Ahmad Zahid dibacakan oleh Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang.

Ahmad Zahid berkata, pembentukan masyarakat Malaysia yang berpemikiran keusahawanan merupakan asas dalam menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara keusahawanan serta membuka peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.

Katanya, antara usaha kerajaan dalam membantu inisiatif keusahawanan ialah pemberian geran menerusi Program Pensijilan Perniagaan (BEST) khusus bagi Pensijilan Halal kepada 204 syarikat penerima berjumlah RM2.8 juta bagi tempoh tahun 2021 sehingga 31 Oktober ini.

Selain itu ialah pemberiaan geran berjumlah RM2.78 juta bagi tempoh sama menerusi Program Sokongan Keusahawanan Luar Bandar (SPKLB) kepada 561 orang usahawan desa.

Katanya, ini termasuk melahirkan usahawan baharu dalam bidang profesional menerusi Program Professional Financing Scheme (ProSPEC) MARA dengan 117 syarikat berjaya terbentuk yang memberi peluang pekerjaan kepada 538 pekerja rakyat tempatan.

“Ia melibatkan jualan terkumpul keseluruhan syarikat sebanyak RM162 juta dari tahun 2021 sehingga kini.

“Bagi merancakkan program kali ini, seramai lebih 800 usahawan desa yang terdiri daripada pelbagai kategori produk dan perkhidmatan menjadi fokus utama pelaksanaan KUD @ Putrajaya.

“Ia seterusnya menyasarkan transaksi jualan sehingga RM10 juta yang meliputi jualan tunai, padanan perniagaan dan tempahan serta dapat menarik penyertaan sehingga 1 juta pengunjung sepanjang program berlangsung,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI