fbpx

18 kemalangan maut di P.Pinang babit lori tahun ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ops Teknikal Kenderaan Perdagangan menyasarkan kenderaan barangan khususnya lori yang gagal mematuhi peraturan di jalan raya baru-baru ini.

SEBERANG PERAI – Sebanyak 18 kes kemalangan maut melibatkan kenderaan barangan khususnya lori direkodkan untuk tempoh 11 bulan pertama tahun ini dengan lima daripada kejadian tersebut dikesan berlaku di Pulau Pinang.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri, Datuk Adenan Md. Isa berkata, data itu diperoleh hasil semakan dan audit keselamatan yang dijalankan oleh pihak JPJ terhadap pemilik syarikat kenderaan yang berkenaan.

Beliau berkata, semakan itu bertujuan melihat sama ada mereka menyedari atau tidak kesalahan yang dilakukan oleh pemandu-pemandu kenderaan mereka menerusi Sistem Pengesanan Global (GPS) khususnya dalam memantau tahap kelajuan yang digunakan.

“Kita akan periksa kenderaan-kenderaan ini melalui operasi yang dijalankan di lebuh raya dalam usaha untuk mengelak serta mengurangkan kemalangan yang berpunca daripada lori-lori yang membawa lebih muatan, rosak, tidak selenggara kenderaan, berhenti di lorong kanan dan sebagainya hingga menyebabkan kemalangan kepada pengguna jalan raya yang lain.

“Bagi saya, lima kes kemalangan maut yang berpunca daripada kenderaan barangan ini terutamanya lori di Pulau Pinang ini masih dianggap tinggi kerana kita di sini (Pulau Pinang) ada jalan (raya) yang sibuk,” katanya kepada pemberita ketika meninjau Ops Teknikal Kenderaan Perdagangan berhampiran Plaza Tol Juru yang menghala ke utara, di sini malam tadi.

Mengulas lanjut, Adenan berkata, pihaknya akan mengesyorkan kepada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) untuk menggantung permit operasi bagi pemilik syarikat kenderan itu jika terbukti mereka sengaja melanggar peraturan yang ditetapkan.

Dalam pada itu katanya, sebanyak 4,593 kenderaan diperiksa dengan 365 daripadanya telah diambil tindakan di bawah Ops Obstacle / Lebuh Raya untuk tempoh 11 bulan pertama tahun ini.

Menurut Adenan, untuk tempoh yang sama, sebanyak 536 notis telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan dengan sebahagian besar daripada notis berkenaan iaitu sebanyak 392 mengikut JPJ (P) 22. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI