fbpx

Cari segera pelapis Arif Aiman, Faisal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Ketika dalam perjalanan ke satu tugasan, penulis terserempak dengan sekumpulan kanak-kanak yang begitu galak bermain bola sepak di kawasan lapang.

Ketika ditanya, majoriti daripada mereka memilih Arif Aiman Hanapi dan Faisal Halim sebagai idola, iaitu jawapan yang tidak terlalu pelik memandangkan kedua-duanya pemain itu sedang berada di puncak prestasi hingga menjadi buah mulut dalam kalangan peminat.

Ia selepas kita menewaskan Kyrgyzstan 4-3 pada aksi pertama Kumpulan D kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027.
Walaupun masih memiliki nama besar lain, pemilihan itu seakan sudah menjadi jawapan wajib buat peminat cilik dan boleh dikatakan Malaysia sebenarnya bertuah kerana mampu menemui dua permata paling berharga.

Jika nama Arif dan Faisal sedang dilambung tinggi, sebenar­nya adalah tidak wajar untuk
kita terus diulit mimpi. Persoalannya siapa pewaris bakal meneruskan kilauan dua bintang muda itu?

Ketika ini bolehlah kita menagih sumbangan mereka tetapi bagaimana pula nasib Harimau Malaya 10 tahun akan datang kerana mereka akan dimamah usia dan kudrat tidaklah segagah sekarang.

“Tidak boleh dinafikan Kim Pan-gon bawa perubahan kepada kebangsaan tetapi kita tidak boleh leka dan persiapan awal kena dilakukan daripada sekarang. Kita kena ada persoalan dalam diri, selepas ini siapa yang akan ganti Arif dan Faisal.

“Kita juga tidak boleh selama­nya harapkan magis sama seperti Akhyar Rashid yang boleh dianggap ‘anugerah’ kerana walaupun jarang bermain di kelab, dia tetap menyinar setiap kali diturunkan.

“Jadi sekarang semua orang kena ambil peranan untuk lahirkan lebih ramai pemain berkua­liti,” kata bekas jurulatih UKM FC, Sulaiman Hussin.

Pada asasnya bukan kerja hakiki Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk mencipta ‘permata baharu’ kerana ia
adalah tanggungjawab kelab seperti yang dilakukan oleh negara kuasa besar bola sepak dunia yang lain.

Dengan adanya Peta Hala Tuju F:30 FAM, hala tuju sudah pun ditetapkan bagi memboleh­kan semua pihak makin jelas apa yang perlu dilakukan terma­suklah bekerja keras untuk terus melahirkan lebih ramai pemain berkualiti.

“Ahli gabungan juga perlu le­bih proaktif untuk mewujudkan pertandingan semua peringkat umur untuk pastikan kesinambungan bola sepak di negeri dan negara pada masa depan.

“Saya harap ahli gabungan dapat memahami aspirasi FAM untuk pastikan bola sepak dimainkan secara kompetitif di negeri sekaligus mampu bangunkan bola sepak negara,” kata Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman.

Di sisi Islam juga menuntut kita berusaha, seperti firman Allah dalam surah Ar-Ra’d ayat 11, “Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.”

Firman Allah itu sudah jelas memberi makna sesuatu kejayaan tidak akan datang secara bergolek jika tanpa sebarang usaha.

Tanpa memulakan gerak kerja daripada sekarang, usah terkejut jika prestasi Harimau Malaya selepas ini akan jatuh merudum dan bawalah figura seperti Jose Mourinho atau Zinedine Zidane sekalipun, mereka tetap tidak ada magis jika ‘ubi muda’ Malaysia tiada kualiti.

“Bagi Persatuan Pemain-Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM), kami alu-alukan keputusan ini (kelab tempatan wajib ada skuad Piala Belia dan Presiden) kerana lebih ramai pemain muda, kita juga akan ada pelapis untuk gantikan pemain sedia ada.

“Pemain yang ada sekarang akan dimamah usia, jadi kita kena bangunkan pemain muda. Pengurusan sediakan dana dan fasiliti pasukan untuk kita luaskan lagi pelapis kerana merekalah akan corakkan kesinambungan pasukan negara sekarang,” kata Presiden PFAM, Safee Sali.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI