fbpx
Motosikal ditunggang mangsa sewaktu terbabit dalam nahas tragis di Klang kelmarin.

[VIDEO] ‘Kami mahu saman, lubang ragut nyawa suami’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KLANG – Kematian seorang kerani yang digilis treler selepas terjatuh setelah terlanggar lubang besar di Klang, Selangor kelmarin mendorong ahli keluarga mangsa untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak berwajib.

Kemalangan tragis yang berlaku pada pukul 9 pagi itu meragut nyawa Allahyarham Syed Asnan Sayed Mokhtar, 37.

Isteri mangsa, Suhaini Abu Bakar, 41, berkata, tindakan undang-undang itu dianggap wajar memandangkan insiden yang menimpa suaminya menyebabkan dia telah kehilangan tempat bergantung, manakala empat anak mereka pula bergelar yatim dalam sekelip mata.

“Saya menerima nasihat supaya mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang bertanggungjawab menyelenggara jalan di lokasi tersebut. Ahli keluarga juga bersetuju dengan tindakan (saman) ini.

“Pihak terbabit juga tidak menghubungi kami selepas kemalangan tragis menimpa arwah suami semalam (kelmarin),” katanya kepada Kosmo! semalam.

Kosmo! Online kelmarin melaporkan seorang kerani Padi­beras Nasional Berhad (Bernas) maut digilis sebuah treler selepas terjatuh setelah terlanggar lubang di bahu jalan Batu 5, Jalan Meru, Klang.

Ketika kejadian, mangsa dikatakan dalam perjalanan dari rumahnya di Puncak Alam untuk ke tempat kerja di Pelabuhan U­tara, Pelabuhan Klang.

Siasatan awal mendapati mang­sa yang menunggang motosikal jenis Honda RS150R dipercayai memotong sebuah lori sebelum terlanggar lubang di lokasi berkenaan.

Bercerita lanjut, Suhaini memberitahu, anak-anaknya iaitu Adam Anasrullah, 18, Nor Hanim Natasya, 16, dan Adim Ardanish, 13, sudah besar dan faham de­ngan kejadian yang menimpa bapa mereka.

Anak bongsu pasangan itu iaitu Syed Abeel Qaiz berusia tiga tahun.

“Sejak di hospital sampai hari ini, dia (anak bongsu) masih tercari-cari bapanya,” katanya.

Tambah wanita itu, dia hanya mengetahui kejadian yang me­nimpa arwah suaminya menerusi kumpulan WhatsApp keluarga sebelum dimaklumkan oleh adik Syed Asnan.

“Saya difahamkan oleh rakan sekerja arwah, dua hari sebelum suami maut, ada mangsa lain yang meninggal dunia akibat terlanggar lubang jalan tidak jauh dari lokasi kejadian.

“Lokasi kejadian merupakan laluan utama. Jadi memang ke­rosakan kerap berlaku. Bagi kes suami, ketika kejadian cuaca hujan, jadi dia mungkin sukar lihat lubang di bahu jalan tersebut.

“Saya sendiri pernah melalui jalan itu dan memang begitulah keadaannya. Sebelum ini, arwah suami sering berpesan supaya berhati-hati ketika melalui jalan tersebut,” kata wanita itu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN