fbpx

Houthi rampas kapal ahli perniagaan Israel

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR tidak bertarikh menunjukkan kapal Galaxy Leader. – AGENSI

SANAA – Pemberontak Houthi di Yemen menyatakan kelmarin bahawa mereka merampas sebuah kapal milik seorang ahli perniagaan Israel di Laut Merah dan melencongkannya ke pantai Yemen.

Pengumuman itu dibuat beberapa hari selepas militia Houthi mengancam akan menyasarkan kapal-kapal Israel di laluan air tersebut berhubung perang Rejim Zionis dan Hamas di Semenanjung Gaza.

Jurucakap Houthi, Yahya Saree berkata dalam satu kenyataan di laman X bahawa pejuang-pejuang Houthi merampas sebuah kapal Israel dan membawanya ke perairan Yemen.

Israel, Amerika Syarikat dan Jepun mengutuk rampasan tersebut.

“Tentera Houthi akan terus melancarkan operasi tentera terhadap Israel sehingga keganasan ke atas Gaza dan jenayah kejam menyasarkan saudara Palestin kami di Gaza dan Tebing Barat dihentikan,” kata Saree.

Dalam perkembangan berkaitan, Pejabat Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berkata, kapal itu dimiliki oleh sebuah syarikat Britain dan dikendalikan oleh sebuah firma Jepun.

Syarikat Nippon Yusen atau dikenali sebagai NYK Line, mengesahkan kepada AFP bahawa pihaknya mengendalikan operasi kapal bernama Galaxy Leader itu. Kapal tersebut mengibarkan bendera Bahamas.

“Syarikat pemilik kapal itu ialah Ray Car Carriers yang mana induknya dimiliki oleh ahli perniagaan Israel, Abraham Rami Ungar,” kata syarikat keselamatan maritim, Ambrey.

Galaxy Leader membawa 25 kru dari pelbagai negara termasuk Ukraine, Bulgaria, Filipina dan Mexico. – AFP 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI