fbpx

Malaysia ingin kukuhkan kerjasama dengan Kementerian Pertanian, Pembangunan Makanan Hijau China

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Fadillah bertemu Tang Renjian menerusi lawatan kerja di Beijing.

PETALING JAYA – Kerajaan berhasrat mengukuhkan kerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Hal Ehwal Luar Bandar China dan Pusat Pembangunan Makanan Hijau China.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof menerusi ciapan di laman X berkata, kerjasama tersebut adalah berhubung dengan penerimaan bersama terhadap Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) dan Skim Pensijilan Makanan Hijau China bagi menggalakkan pembangunan mampan.

Fadillah yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata demikian setelah menghadiri perjumpaan bersama Menteri Pertanian dan Hal Ehwal Luar Bandar China, Tang Renjian pada Khamis sekali gus mengakhiri hari ketiga lawatan rasmi beliau ke Beijing.

“Perbincangan kami tertumpu kepada usaha meningkatkan perdagangan dan eksport minyak sawit serta produk berkaitannya ke China.

“Selain itu, saya turut menzahirkan penghargaan kepada China atas usaha menyokong kerjasama antara Majlis Pensijilan Minyak Sawit Malaysia (MPOCC) dan Pusat Pembangunan Makanan Hijau China, juga penerimaan terhadap skim MSPO,” ciap beliau.

Dalam pada itu, sepanjang lawatan rasmi beliau di Beijing Fadillah turut mengadakan pertemuan dua hala ketiganya bersama Naib Premier Republik Rakyat China Ding Xuexiang dan melawat Akademi Sains Pertanian China (CAAS).

CAAS adalah sebuah organisasi penyelidikan saintifik bagi bidang pertanian yang menjalankan penyelidikan asas dan membangunkan teknologi baharu bagi menyelesaikan pelbagai cabaran dalam memajukan bidang pertanian dan memajukan ekonomi luar bandar China.

“Sebagai penyokong teguh Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI), Malaysia komited dalam perhubungan serantau.

“Saya turut menzahirkan ucapan tahniah kepada China dan Presiden Xi Jinping atas kejayaan menjadi tuan rumah bagi Forum Belt and Road Ketiga untuk Kerjasama Antarabangsa di Beijing.

“Ia juga bagi memperingati ulang tahun ke-50 hubungan dua hala Malaysia-China yang akan diraikan pada tahun depan yang mana kedua-dua pihak telah bersetuju untuk menganjurkan pelbagai program dan aktiviti,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI