fbpx

K2

Bawa sari Malaysia ke persada dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ACARA kemuncak Pertunjukan Fesyen Navarasa yang diadakan baru-baru ini di Kompleks Kraf Kuala Lumpur mengetengahkan pelbagai fesyen sari yang digabungkan dengan aneka tekstil tradisional misalnya batik.

Pertunjukan Fesyen Warisan Navarasa yang dianjurkan oleh Bkay Nair Resources (BNR) berakhir dengan acara kemuncak pada 14 Oktober lalu di Kompleks Kraf Kuala Lumpur.

Program tersebut yang berlangsung selama beberapa hari turut melibatkan penganjuran bengkel telah menghimpunkan peminat fesyen, artis, dan penggemar budaya dalam usaha untuk meraikan warisan Malaysia.

Pada acara kemuncak itu, satu pertunjukan fesyen memukau telah diadakan yang mana ia menggabungkan tekstil tradisional tanah air dengan rekaan fesyen kontemporari diinspirasi oleh sari Malaysia (saree Malaysia). Sari Malaysia yang dihasilkan dengan teliti daripada batik, songket dan sutera asli Malaysia menjadi lambang yang mendalam terhadap warisan budaya negara ini.

Seramai 44 orang model telah mempersembahkan sejumlah 77 look yang menakjubkan, hasil rekaan 11 orang pereka yang diinspirasikan daripada pelbagai budaya.

Ciptaan itu tidak hanya mencerminkan sejarah dan tradisi yang kaya negara ini, tetapi juga berperanan sebagai medium ekspresi seni.

Bkay menyifatkan pertunjukan fesyen itu sebagai refleksi mendalam terhadap identiti budaya.

Pengarah Bkay Nair Resources, Bkay Nair berkata, pertunjukan fesyen itu adalah sebagai refleksi mendalam terhadap identiti budaya dan menjadi bukti semangat kekreatifan yang berterusan.

“Melalui acara ini, kami berharap untuk membawa keunikan warisan kami kepada Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

“Pengiktirafan yang diberikan oleh UNESCO berpotensi untuk menerangi harta seni dan budaya negara kita ke peringkat global dan juga mempersembahkan kepada ibu kota fesyen terkenal seperti Paris dan seluruh Eropah.

“Kami berhasrat untuk memulakan perbincangan antarabangsa yang menonjolkan keunikan tekstil Malaysia, memupuk penghargaan yang lebih mendalam terhadap warisan kami yang kaya di peringkat global,” katanya.

Tambahnya, hasrat untuk mempersembahkan ciptaan ini kepada UNESCO melambangkan usaha untuk mengangkat warisan budaya Malaysia ke peringkat global, malah inisiatif itu juga menekankan kepentingan tradisi sambil menghormati kekayaan kreativiti Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI