Melakukan tiga pekerjaan dalam satu masa bukanlah perkara mudah apatah lagi ia memerlukan perhatian serta komitmen tinggi untuk menguruskannya.
Bagaimanapun, ‘alah bisa, tegal biasa’, mungkin peribahasa itu tepat diberikan kepada seorang pengusaha pusat dandanan kucing serta hotel haiwan peliharaan, Anas Mursyidi Abu Mansor, 35.
Merupakan pengurus kilang dan pelajar sambilan di sebuah universiti tempatan, situasi itu nyata tidak menjadi menghalang buat bapa kepada seorang cahaya mata itu untuk ‘terjun’ pula ke dunia perniagaan.
Terlibat dengan bidang dandanan kucing sejak remaja, siapa sangka kecintaan Anas Mursyidi terhadap kucing akhirnya ‘dijelmakan’ menerusi sebuah pusat dandanan kucing dan hotel yang diberi nama Kaka Cat House di Kepala Batas, Pulau Pinang.
Bukan sekadar itu, suatu yang menarik tentang Anas Mursyidi sehingga pernah menjadi tular ialah kemampuannya menjinakkan kucing-kucing garang atau agresif. Tidak hairanlah ada yang memberikannya gelaran The Cat Whisperer atau ‘penjinak kucing’.
Nama Anas Mursyidi satu ketika tular di laman sosial khususnya TikTok dan Facebook kerana dianggap pakar dalam ‘menundukkan’ kucing garang, sesuatu kemahiran yang tidak dimiliki ramai pendandan kucing ketika ini.
Kebolehan mengawal tingkah laku si ‘bulus’ yang agresif itu nyata mendapat perhatian ramai sehingga ada pelanggan yang sanggup datang dari jauh termasuk dari Lembah Klang, Perak dan selatan tanah air untuk mendapatkan khidmatnya itu.
Terdapat beberapa video di TikTok yang menunjukkan dirinya berjaya ‘menundukkan’ kucing-kucing garang yang dibawa oleh tuan-tuan kucing dari pelbagai negeri. Ada antara video tersebut mencecah jutaan tontonan.
Dapat ditonton, kucing-kucing pelbagai rupa yang asalnya bertindak begitu agresif dengan cuba menyerang, memberontak, mencakar dan menggigit bila mahu memegangnya tidak lama kemudian bertukar diam dan tenang dalam dakapannya.
Adakalanya Anas Mursyidi turut melayani usikan netizen yang menuduhnya memiliki ‘ilmu penunduk kucing’ dan ‘memakai jampi’.
“Bila kucing dah start mengerdip mata, bermakna ia dah percayakan kita,” katanya dalam satu video sambil memegang seekor kucing hitam yang asalnya berkelakuan ganas.

Mengenai kemampuannya menjinakkan kucing, Anas Mursyidi memberitahu K2, dia sememangnya pernah obses untuk mengkaji sikap, tingkah laku dan psikologi kucing kira-kira tujuh atau lapan tahun yang lalu.
“Apabila kita mula explore (teroka) mengenai perkara ini, lebih banyak benda menarik yang dijumpai tentang kucing.
“Kemudian, kita tingkatkan kemahiran yang sedia ada mengikut apa yang kita faham.
“Sebenarnya, di Malaysia ini belum ada kursus atau pengajian khas untuk kita belajar mengenai tingkah laku atau psikologi seekor kucing. Kelas yang ada pun cuma secara dalam talian tapi kosnya agak mahal untuk diikuti,” ujarnya.
Jelas Anas Mursyidi yang juga kini sohor kerana kerap berkongsi tip penjagaan kucing di TikTok sehingga memiliki lebih 250,000 pengikut, bukan mudah untuk menjinakkan seekor kucing yang agresif.
Katanya, ia kerana setiap kucing itu memiliki karakter berbeza termasuk garang, manja dan aktif.
Ujar Anas Mursyidi, dia sendiri pernah cedera akibat dicakar oleh haiwan itu sehingga jarinya berjahit pada peringkat awal dahulu.
“Sebenarnya, ada beberapa faktor yang boleh menyebabkan kucing itu menjadi agresif termasuk genetik kucing, layanan diterima kucing terutama daripada manusia, trauma yang sering dihadapi serta keresahan jika berlaku sebarang perpisahan (terutama dengan pemiliknya).
“Jadi, situasi-situasi ini boleh menyebabkan kucing yang berkenaan menjadi terancam dan terlalu defensif. Ini juga secara tidak langsung akan menyukarkan proses ‘grooming’ atau dandanan terhadapnya,” katanya.
Kongsi Anas Mursyidi, antara teknik yang boleh digunakan untuk menjinakkan kucing yang garang termasuk sentiasa berada di belakang haiwan itu ketika ia agresif, selain melakukan kerdipan mata dan menguap serta berbisik ke telinganya.
Kata Anas Mursyidi, semua kaedah itu penting bagi mengelakkan haiwan berkenaan tidak menjadi terlalu dominan selain menjadikan ia tidak menganggap manusia sebagai ancaman.
Disebabkan oleh kemahiran menjinakkan kucing itu juga menyebabkan Anas turut menerima kucing-kucing ganas bagi khidmat dandanan atau penginapan kucing yang ditawarkannya.
“Berbanding pusat ‘grooming’ kucing yang lain, kita tidak memilih dan akan menerima hampir semua jenis kucing termasuk yang dikategorikan agresif.
“Harga yang kita tawarkan pula ialah RM25 semalam untuk mendapatkan khidmat penginapan kucing, manakala pakej ‘grooming’ pula berharga antara RM35 hingga RM200,” katanya yang berpesan untuk kemudahan pelanggan, mereka boleh membuat tempahan awal.
Diminta mengimbas idea penubuhan Kaka Cat House, Anas Mursyidi berkata, ia timbul hasil persetujuan bersama isterinya, Khaliza Che Khalid, 31, selepas melihat perkhidmatan dandanan kucing secara sambilan yang mereka tawarkan dari rumah sebelum itu mendapat sambutan yang sangat baik.
“Jadi, apabila isteri saya menamatkan pengajiannya di peringkat Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang forensik dan memutuskan untuk tidak mahu lagi berkhidmat sebagai seorang saintis makmal perubatan, saya ajak dia memulakan bisnes dandanan kucing ini secara lebih serius.
“Perkara itu tidaklah terlalu sukar kerana kami berdua sememangnya memiliki kelayakan khas sebagai seorang professional groomer (pendandan kucing profesional) sebelum ini,” katanya.
Berbekalkan modal sendiri yang berjumlah kira-kira RM40,000, dia dan isteri akhirnya memulakan perniagaan tersebut pada 1 Januari 2021.
Jelas penuntut separuh masa bagi pengajian Sarjana Sains Pentadbiran itu lagi, dia bertuah kerana tidak perlu mengeluarkan modal besar kerana banyak peralatan kelengkapan dandanan sudah sedia ada dan hanya melengkapkan set tersebut sedikit demi sedikit selepas membuka premis.














