fbpx

PDRM bincang keputusan bawa pulang Sirul Azhar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Razarudin.

PETALING JAYA – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan berbincang dengan pihak berkaitan bagi memutuskan tindakan membawa pulang bekas anggota Unit Tindakan Khas, Sirul Azhar Umar yang dihukum mati atas kesalahan membunuh Altantuya Shaariibuu pada tahun 2006.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, antara pihak yang akan dilibatkan dalam perbincangan itu adalah Pejabat Peguam Negara dan mahkamah.

“Kita (PDRM) akan adakan perbincangan mengenai perkara ini kerana dia (Sirul Azhar) sudah dijatuhi hukuman. Jadi perlu ta­nya Pejabat Peguam Negara kerana melibatkan perundangan Malaysia dan Australia.

“PDRM juga tiada halangan untuk bertemu dengan Sirul Azhar. Kita ada pegawai di sana (Australia) boleh berjumpa de­ngannya yang kini sudah dibebaskan,” katanya ketika dihubu­ngi semalam.

Kelmarin, The Sydney Morning Herald melaporkan Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa Sirul Azhar, 51, yang juga pengawal peribadi Datuk Seri Najib Tun Razak tidak boleh ditahan selamanya-lamanya oleh pihak imigresen negara tersebut.

Sehubungan itu, Sirul Azhar dibebaskan dari Pusat Tahanan Villawood di Sydney bersama 92 tahanan lain, namun dibenarkan kekal di negara tersebut di bawah syarat khas yang ditetapkan.

Tambah laporan itu, anak lelaki Sirul, Shukri Azam yang tinggal di Canberra turut mengesahkan pembebasan bapanya.

Sirul Azhar berada dalam tahanan imigresen Australia sejak tuntutannya untuk mendapatkan suaka di negara itu ditolak pada tahun 2019.

Kerajaan Australia enggan menghantarnya pulang ke Malaysia kerana dia berdepan hukuman mati. Sirul Azhar dijatuhi hukuman di tali gantung kerana disabitkan atas pembunuhan Altantuya iaitu warga Mongolia yang merupakan penterjemah. – KOSMO! ONLINE

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, & TikTok

TERKINI