fbpx

K2

Kuala Rompin lubuk tenggiri saiz besar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Yen menunjukkan ikan tenggiri bersaiz besar dan ikan lain yang berjaya dipancingnya bersama rakan-rakan.

SEBAGAI seorang kaki pancing, kepuasan pasti akan terasa tatkala umpan dibaham ikan yang diburu.

Apatah lagi apabila umpan dipasang direntap dengan cara yang ganas, membuatkan adrenalin si pemancing meningkat ke tahap optimum.

Perkara itu diakui oleh seorang kaki pancing, Norshahreen Mohamad Norizan, 40, yang sudah bergelar pemancing tegar sejak 20 tahun lalu.

Dia yang berjinak-jinak dengan hobi memancing sejak berusia tujuh tahun berkata, sudah banyak lokasi memancing yang dikunjungi termasuklah tali air, sungai, lombong, tasik dan laut.

“Sejak beberapa tahun lalu, saya kerap memancing di kawasan laut untuk mencari spesies ikan yang unik dan ikan pemangsa.

“Ini kerana ikan daripada spesies berkenaan memberikan pengalaman yang berbeza berbanding memancing ikan di kawasan darat,” katanya kepada K2.

Norsyahreen atau lebih mesra disapa Yen dalam kalangan rakan-rakannya memberitahu, ‘port’ memancing terbaharu yang dikunjunginya adalah di Kuala Rompin, Pahang pada bulan lalu.

Bercerita lanjut mengenai trip memancing yang disertainya itu, Yen yang kini tinggal di Kajang, Selangor dan bertugas sebagai seorang jurutera automotif memberitahu, dia ke lokasi tersebut bersama beberapa rakannya yang juga merupakan kaki pancing.

Disebabkan Kuala Rompin terletak kira-kira empat jam perjalanan menggunakan kenderaan dari Kuala Lumpur, maka mereka biasanya akan menyewa bot selama dua hari agar kos yang dikeluarkan berbaloi untuk melunaskan aktiviti yang digemari mereka itu.

Jelasnya lagi, antara spesies yang menjadi buruannya adalah tenggiri kerana ikan berkenaan merupakan antara spesies ikan pelagik yang bersifat pemangsa dan agak ganas ketika melawan tarikan tali pancing.

YEN (kiri) bersama rakan pancingnya menunjukkan ikan tenggiri yang berjaya diraih.

“Ikan tenggiri merupakan antara ikan pelagik yang kerap menjadi buruan pemancing kerana ia boleh didapati di kawasan perairan yang kedudukannya tidak terlalu jauh dari pantai.

“Tambahan pula, cara memburu ikan tenggiri tidaklah terlalu sukar berbanding ikan yang mendiami dasar laut dalam.

“Biasanya, saya akan menggunakan teknik ‘casting’ menggunakan gewang jenis ‘pintail’ seberat 20 gram (g) hingga 40g.

“Kadangkala saya juga akan menggunakan teknik hanyutan dengan umpan hidup yang diikat pada belon atau botol,” katanya.

Mengenai joran yang digunakan pula, Yen memberitahu, dia hanya menggunakan set jenis sederhana yang dipadankan dengan perambut jenis kabel bagi memastikan ia tidak mudah putus ketika dibaham tenggiri.

Ini kerana jelasnya, gigi ikan tenggiri sangat tajam dan tali perambut akan mudah terputus jika jenis daripada tangsi yang digunakan terutama ketika melawan tarikan pemancing.

Menurut Yen lagi, bagi memburu spesies ikan yang berkeliaran di kawasan dasar laut pula, dia dan rakannya akan menggunakan teknik ‘jigging’ menggunakan pemberat antara 60g hingga 100g mengikut kelajuan arus.

Pada trip tersebut jelasnya, mereka berjaya menaikkan lebih 10 ekor tenggiri, selain puluhan lagi ikan spesies lain termasuklah ikan tongkol, kaci, jemuduk, gerong dan merah.

Ia bagaimanapun berbeza dengan pengalaman memancing terdahulu.

“Pada trip awal tahun lalu, saya pernah menaikkan seekor ikan tenggiri bersaiz besar seberat 8 kilogram dan ia mengambil masa lebih daripada 10 minit untuk didaratkan.

“Namun, pada trip kali ini, purata berat ikan tenggiri yang kami naikkan adalah antara 2 kilogram hingga 5 kilogram seekor.

“Selain ‘casting’ dan ‘jigging’, kami turut menggunakan teknik candat untuk menaikkan spesies sotong mabang yang menjadi kegilaan pemancing kerana saiznya yang besar mencecah sehingga 2 kilogram seekor,” ujarnya.

Bercakap mengenai hasil tangkapan yang diperoleh, Yen memberitahu kebiasaannya ia akan dibahagikan secara sama rata sesama rakan pemancing untuk dibawa pulang.

Tambahnya, walaupun terpaksa mengeluarkan kos sehingga ratusan ringgit untuk mengikuti trip memancing tersebut, namun dia berasa puas kerana dapat melunaskan hobinya itu, selain tidak pernah pulang dengan tangan kosong.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI