LONDON – Penyerang muda sensasi Ireland, Evan Ferguson akhirnya menandatangani kontrak jangka panjang untuk kekal bersama Brighton sehingga penghujung musim 2029.
Pengendali Brighton, Roberto de Zerbi mengakui pihak pengurusan sangat gembira dapat memastikan pemain berusia 19 tahun itu dapat terus menyarung jersi The Seagulls selepas pamer rentak cemerlang awal musim ini.
“Saya percaya Ferguson layak untuk menerima kontrak baharu yang kami tawarkan kerana masa depannya cukup cerah. Saya harap dia terus konsisten untuk membantu pasukan sepanjang musim ini.
Sementara itu, pengarah teknikal Brighton, David Weir percaya pemain itu memiliki masa depan yang cukup cerah dan ia terbukti selepas membalas kepercayaan yang diberikan sejak tahun lalu.
“Kami sangat gembira apabila Ferguson bersetuju untuk kekal bersama pasukan dan dia sudahpun mencipta nama menjadi salah satu pemain utama di peringkat kelab dan antarabangsa,” katanya.
Ferguson telah menyertai Brighton daripada kelab Ireland, Bohemians pada Januari 2021 sebelum diberikan peluang membuat debut pertama pada tahun lalu sehingga berjaya menjaring 15 gol setakat ini.
Difahamkan, beberapa kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) seperti Manchester United dan Tottenham Hotspur sangat berminat untuk menandatanganinya pada jendela perpindahan lepas. – AGENSI














