fbpx

Sindiket tanam dadah dalam kandang kambing tumpas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Hussein (dua kanan) menunjukkan dadah yang dirampas dalam sidang akhbar di IPK Selangor, hari ini. Foto oleh AFIQ RAZALI/KOSMO!

SHAH ALAM – Kegiatan dua sindiket dadah sejak awal tahun ini termasuk menanam dadah dalam kandang kambing berjaya ditumpaskan menerusi dua serbuan berasingan di sekitar Kapar dan Puncak Alam, baru-baru ini.

Dalam operasi selama dua hari bermula 2 November lalu, polis berjaya merampas keseluruhan dadah jenis heroin dan syabu bernilai RM10.39 juta selain menahan 10 lelaki tempatan bertindak sebagai transporter berusia 18 sehingga 44 tahun.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, berdasarkan siasatan awal mendapati kandang kambing itu digunakan sebagai tempat pemprosesan susulan penemuan heroin base sebelum diedarkan di pasaran tempatan.

Katanya, semasa serbuan dilakukan enam lelaki sedang duduk berkumpul di sebuah tempat rehat bersebelahan kandang itu yang terletak di Kapar.

“Pemeriksaan kemudiannya menemui 44 peket lut sinar berisi heroin sebelum soal siasat dengan dipandukan suspek membawa kepada penemuan penyimpanan dadah lain.

“Ini meliputi 109 lagi peket heroin dan lapan peket berisi methamphetamine serta 41 ketulan mampat heroin dan heroin base yang ditanam dalam empat lubang di dalam kandang haiwan tersebut,” katanya pada sidang akhbar di Mess Pegawai Kanan IPK Selangor, hari ini.

Kata beliau, modus operandi itu adalah terbaharu digunakan sindiket bagi mengaburi pihak berkuasa terhadap aktiviti pengedaran dan penyeludupan dadah.

Ujar Hussein, menerusi serbuan dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Ibu Pejabat Kontinjen Polis (IPK) Selangor dan Ibu Pejabat Daerah Shah Alam itu juga berjaya merampas 250 bungkusan teh cina yang mengandungi methamphetamine dalam dua buah kereta termasuk pacuan empat roda.

“Secara keseluruhannya, berat dadah yang dirampas masing-masing 15.4 kilogram (kg) heroin base, heroin (49.5kg) dan 261.7kg methamphetamine dengan dadah diperoleh dari negara jiran di utara Semenanjung.

“Kita turut menyita empat buah kenderaan iaitu Toyota Vellfire, Honda Stream, Honda City serta satu akaun bank yang bernilai RM269,229,” katanya.

Hussein menjelaskan, siasatan turut mendapati ada antara suspek yang ditangkap bekerja sebagai pengurus ladang kelapa sawit, peniaga pakaian terpakai, pekerja ladang, buruh selain penganggur.

Kesemua suspek ini bertugas sebagai transporter dengan menerima upah antara RM5,000 hingga RM10,000.

“Enam daripada mereka mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah selain empat positif opiate. Kesemua mereka kini direman selama tujuh hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI