fbpx

Rakan pejabat meninggal dunia kerana kejar KPI

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Seorang pekerja wanita didakwa meninggal dunia gara-gara tertekan dengan kerja untuk ‘mengejar’ petunjuk prestasi utama (KPI) yang ditetapkan oleh pengurus sebuah syarikat.

Perkara tersebut diceritakan sendiri oleh rakan kerjanya di akaun @sophialiebe97 di aplikasi X, semalam.

Katanya, kawannya itu meninggal dunia beberapa bulan lalu berpunca daripada stres sehingga menyebabkan ‘panic attack’ seterusnya bertukar menjadi serangan jantung.

“Kawan meninggal dunia kerana tertekan dengan kerja. Ditekan oleh KPI, oleh pengurus dan ‘coach’ dalam syarikat ini yang agak tegas.

“Dia stres, banyak kali fikir nak berhenti kerja tapi dia seorang yang menanggung keluarga. Berhenti kerja bukan mudah untuknya.

“Dia sangat stres sampaikan hari yang dia meninggal dunia itu, daripada susah nak bernafas, jadi serangan jantung yang sebenar. Dia meninggal dunia semasa dalam perjalanan nak ke hospital,” tulisnya.

Walau bagaimanapun, katanya, selepas kejadian tersebut syarikat masih kekal dengan persekitaran toksik dan KPI yang sama untuk menekan para pekerjanya.

“Kami semua terkejut dan sedih. Tetapi syarikat masih sama. Selang beberapa hari, orang dah tak bercakap tentang perkara itu.
KPI masih sama. Sosok-sosok toksik masih ada,” katanya.

Bercerita lanjut, ujar pengguna ini, dia juga sudah meletakkan jawatan pada dua minggu lepas demi menjaga kesihatan mental dan tidak mahu dinilai-ukur berdasarkan KPI semata-mata.

“Kerja adalah kerja. Tidak ada guna kita stres sangat atas sebab kerja kerana KPI atau apa sahaja ukuran prestasi kita hanyalah nombor-nombor yang dimasukkan di dalam sistem.

“Tiada roh dan sisi manusiawi dalam KPI itu. Saya sendiri pun dah berhenti kerja dua minggu lepas.

“Mahu menghirup sedikit nafas lega, tidak lagi dinilai-ukur oleh orang lain dan KPI yang kadang-kadang tidak manusiawi,” luahnya.

Sehingga kini ciapannya telah mendapat 9,100 ulang ciap dan 11,000 tanda suka. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI