fbpx
PAK ROMLI ketika melakukan persembahan di Balai Seni Negara, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Pak Romli pewaris tunggal Awang Batil

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MENGENAKAN persalinan pakaian berwarna hijau dan siap tengkolok persis seorang pengantin lelaki, Romli Mahmud, 68, duduk bersila di tempat yang telah disediakan.

Kemudian dengan pantas, lelaki yang mesra disapa Pak Romli itu mengambil alat muzik batil sebelum menepuknya dengan menggunakan tangan sehingga terhasilnya alunan muzik mengasyikkan.

Alunan muzik yang dimainkan itu adalah tanda ‘buka panggung’ untuk persembahan Awang Batil kepada penonton di Balai Seni Negara, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Sewaktu persembahan berlangsung, penonton yang hadir bergelak ketawa apabila mendengar cerita yang disampaikan dalam loghat utara oleh Awang Batil.

Mengulas lanjut, Pak Romli berkata, Awang Batil merupakan seorang penglipur lara yang hanya terdapat di Perlis.

Menurutnya, dia adalah pewaris tunggal Awang Batil yang diwarisi daripada bapanya.

“Awang Batil ini dulu dikenali sebagai Awang Belanga dan dia merupakan tukang pencerita atau bahasa mudahnya dikenali sebagai penglipur lara.

“Dahulunya, Awang Batil ini akan menjelajah dari kampung ke kampung untuk mempersembahkan ceritanya,” katanya kepada K2 baru-baru ini.

Tambahnya, cerita-cerita yang disampaikan oleh Awang Batil selalunya mempunyai unsur teladan dan nasihat.

Antara cerita yang disampaikan dan mempunyai unsur teladan adalah tentang sikap tamak.

“Dalam cerita ini, ada watak jin yang mengatakan sifat manusia sememangnya sebegitu, di mana sudah kaya mahu kaya lagi.

“Mesej yang ingin disampaikan dalam cerita ini adalah tentang sikap tamak selalunya akan membawa kerugian,” jelas Pak Romli.

Pak Romli membuat persembahan Awang Batil yang melibatkan penggunaan peralatan muzik seperti batil yang berbentuk seperti belanga.

Tambahnya, berbanding dahulu, cerita-cerita yang disampaikan kini akan ditapis terlebih dahulu mengikut kesesuaian.

Jika zaman dahulu, banyak cerita yang disampaikan langsung tiada tapisan dan Awang Batil boleh menyebut apa sahaja.

Namun kini, ada tapisan terlebih dahulu bagi membolehkan cerita yang disampaikan sesuai kepada semua.

Kisah-kisah Awang Batil yang biasa diceritakan adalah Raja Dewa Lok, Raja Bersiong, Raja Berdarah Putih, Anak Lang Pak Belang, Jabat Jabit, Abu Nawas, Cerita Angan-Angan dan Awang Ada Duit Semua Jadi.

Antara komponen penting dalam persembahan Awang Batil adalah topeng, batil (alat berbentuk belanga) dan serunai bagi menghidupkan jalan cerita yang mempunyai dialog spontan, jenaka serta nyanyian.

Dalam babak tertentu, Awang Batil akan memakai topeng yang menceritakan watak hulubalang dan ahli nujum.

Topeng itu dihasilkan daripada kayu dan diwarnakan dengan warna merah serta putih.

Pak Romli menjelaskan, topeng itu menjadi identiti dalam persembahan Awang Batil dan memainkan peranan tersendiri dalam cerita disampaikannya.

“Topeng yang lebih kecil mewakili watak hulubalang iaitu pemuda dalam kalangan rakyat biasa yang patuh dan sentiasa menjunjung perintah raja.

“Manakala, topeng lebih besar mewakili Wak Nujum yang bertindak sebagai tukang ramal.

“Kebiasaannya, watak hulubalang akan lebih menonjol dalam sesebuah cerita disampaikan.

“Watak Wak Nujum akan muncul sesekali saja apabila wataknya dipanggil oleh raja untuk membuat ramalan sekiranya ada masalah berlaku dalam istana atau negeri,” ujarnya yang menetap di Kampung Pokok Sena, Kangar, Perlis.

Menjelas lanjut tentang sejarah Awang Batil, Pak Romli berkata, ia telah wujud sejak sekian lama dan pernah pupus seketika.

“Orang-orang dahulu tidak mencatat sejarah tentang bila kewujudan Awang Batil ini. Berdasarkan cerita orang-orang tua dahulu, ia sudah lama ada.

“Persembahan ini pernah pupus seketika sebelum dihidupkan kembali oleh ayah saya pada tahun 1966 iaitu Allahyarham Mahmud Wahid yang juga dikenali sebagai Pak Mud.

“Pada ketika itu, umur saya baru 12 tahun dan ayah saya dijemput untuk mengadakan persembahan di Pulau Pinang,” katanya.

Ceritanya, dia turut mengikut bapanya dan itu kali pertama dia menonton persembahan Awang Batil.

Malah, dia tidak pernah melihat bapanya melakukan latihan sebelum itu.

Bukan itu sahaja, bapanya juga melarang anak-anaknya untuk bermain barang-barang Awang Batil kerana ada pantang larangnya.

Kisah disampaikan oleh bapanya di dalam persembahan itu juga sudah diketahui jalan ceritanya oleh Pak Romli.

Ini kerana, setiap malam sebelum tidur, bapanya akan menceritakan beberapa kisah kepada dia.

Kisah itu menjadi cerita dalam persembahan Awang Batil yang dipersembahkan oleh bapanya.

Sejak itu, dia jatuh cinta dengan persembahan tersebut dan mula belajar untuk mempelajarinya.

Untuk rekod, Pak Romli yang merupakan generasi kelima Awang Batil menjadi penglipur lara selepas bapanya.

Pada usia emasnya, dia telah diiktiraf sebagai ‘Orang Warisan’ oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Dia juga diisytiharkan sebagai Tokoh Orang Hidup 2015 oleh Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan pada tahun berkenaan.

Menceritakan tentang pengalamannya, Pak Romli berkata, dia pernah berhadapan dengan situasi tidak dibayar setelah melakukan persembahan.

“Dua tiga kali juga saya diundang untuk melakukan persembahan tetapi langsung tidak dibayar.

“Hal ini membuatkan saya terasa hati dan berhenti untuk melakukan persembahan ini untuk satu tempoh masa.

“Namun, setelah beberapa orang ‘memujuk’, saya kembali melakukan persembahan ini. Saya membuka hati untuk menyambung legasi sebagai sang penglipur lara.

“Kalau bukan saya, siapa lagi yang akan teruskan? Biarlah ada yang memandang enteng, apa yang penting persembahan Awang Batil dapat terus ‘bernyawa’,” ulasnya.

Berbicara lanjut, Pak Romli agak risau kerana tiada generasi muda yang sanggup untuk belajar bagi meneruskan persembahan Awang Batil.

Ujarnya, anaknya sendiri tidak berminat untuk mewarisi seni persembahan tersebut.

Bagaimanapun, baru-baru ini dia dapat menarik nafas lega apabila Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) mengambil inisiatif mencari generasi-generasi muda yang berminat untuk belajar persembahan tersebut.

“Saya dapati ada salah seorang anak muda ini yang mempunyai bakat untuk mewarisi warisan Awang Batil.

“Namun, apa yang penting ketika ini dia perlu banyak berlatih,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN