fbpx
Keratan muka depan Kosmo! Jumaat lalu.

Ambil pesara guru, elak murid terabai dan tercicir belajar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MARAN – Kementerian Pendidikan disaran mengambil pesara guru sebagai guru gantian bagi menampung isu kekurangan guru dalam mata pelajaran teras di sekolah seluruh negara.

Pensyarah Universiti Putra Malaysia, Datuk Aripin Said berkata, langkah jangka pendek itu amat signifikan dalam memastikan kepentingan pelajar tidak terabai.

“Ramai pesara guru berkebolehan mengajar bahasa Me­layu, Pendidikan Islam, bahasa Inggeris, Pendidikan Islam dan Reka Bentuk dan Teknologi.

“Malah pesara guru ramai yang masih sihat dan cergas untuk kembali ke sekolah menyumbang bakti dan kepakaran yang dimiliki kepada anak bangsa,” katanya di sini semalam.

Jumaat lalu Kosmo! melaporkan sebahagian ibu bapa mula risau setiap kali memikirkan mengenai masa depan pendidikan anak mereka ekoran masalah kekurangan guru yang didakwa berlaku di kebanyakan sekolah sejak sekian lama.

Lebih serius apabila ada sesetengah sekolah terpaksa me­laksanakan kelas tambahan untuk mengimbang mata pelajaran yang tercicir bagi pelajar yang terkesan.

Menurut Aripin dalam isu itu Kementerian Pendidikan boleh mencontohi universiti tempatan yang menawarkan pensyarah kontrak kepada pesara yang pernah berkhidmat di universiti berkenaan.

Justeru katanya, khidmat pesara guru yang sudah tentu mempunyai pengalaman yang luas dapat mengatasi masalah yang dihadapi oleh KPM dan memastikan kecemerlangan pelajar.

Dalam pada itu Aripin berkata, masalah kekurangan guru yang tidak pernah selesai membimbangkan golongan ibu bapa dan menjejaskan kualiti pendidikan negara.
“Sebagai bapa dan juga bekas guru saya amat berharap Kementerian Pendidikan dapat memastikan kelompangan guru dapat diisi dengan tenaga ganti kontrak yang ada pengetahuan dan pakar dalam mata

pelajaran berkenaan.

“Unjuran keperluan guru dan subjek perlu dibuat dengan teliti berdasarkan pangkalan data guru dan enrolmen murid sekolah rendah dan sekolah menengah beberapa tahun akan datang,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN