fbpx
PELAJAR memberikan tumpuan ketika berada dalam bilik darjah. - GAMBAR HIASAN

Guru Matematik, Bahasa Inggeris kurang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ALOR SETAR – Sebahagian ibu bapa mula risau setiap kali memikirkan mengenai masa depan pendidikan anak mereka ekoran masalah kekurangan guru yang didakwa berlaku di kebanyakan sekolah sejak sekian lama.

Lebih serius apabila ada sesetengah sekolah terpaksa melaksanakan kelas tambahan untuk mengimbangi mata pelajaran yang tercicir bagi pelajar yang terkesan.

Seorang ibu, Zahrah Zainal, 41, berkata, pembelajaran matematik anak perempuannya terganggu ekoran ketiadaan guru tetap di sebuah sekolah menengah kebangsaan agama di negeri ini sejak setahun lalu.

Katanya, apa yang ada ialah guru praktikal tetapi apabila sudah tamat tempoh mengajar, tiada lagi cikgu yang masuk mengajar.

“Saya kasihan melihat anak yang tertekan kerana tidak dapat menguasai matematik mengikut silibus. Banyak yang dia tidak faham hingga gagal dalam peperiksaan baru-baru ini.

“Bagaimanapun saya sedikit lega apabila pihak Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah mengambil inisiatif mengadakan kelas tambahan diajar oleh ahli keluarga pelajar yang prihatin dengan masalah tersebut,” katanya di sini baru-baru ini.

Menurut Zahrah, pihak sekolah memaklumkan masalah itu turut berlaku di tempat lain dan dia berharap kerajaan perlu bertindak segera kerana bimbangkan prestasi anaknya yang akan berada di peringkat menengah atas tahun hadapan.

Seorang lagi waris dikenali Muhammad Fisol Ahmad, 45, berkata, sekolah berasrama anaknya berdepan dengan masalah kekurangan guru bahasa Inggeris tetap.

Katanya, apa yang ada hanya guru praktikal atau kontrak.

RAMAI ibu bapa risau masalah guru tidak cukup akan menjejaskan pembelajaran anak mereka sekali gus gagal mengikut sukatan silibus ditetapkan kerajaan. – GAMBAR HIASAN

“Sampai bila harus begini ke­rana apa yang penting sekarang ialah kualiti pengajaran kepada anak-anak.

“Sukar hendak hantar tuisyen kerana anak duduk asrama. Saya ada fikir untuk tukar sekolah tetapi pihak sekolah dan PIBG baru pula melantik guru kontrak untuk matematik dan bahasa Inggeris,” katanya.

Ujar Muhammad Fisol, kerajaan perlu memberi perhatian serius isu itu lebih-lebih lagi jika ia membabitkan subjek penting seperti matematik dan bahasa Inggeris.

Bagi Siti Hazwani Umar, 36, sekolah anaknya di Kangar, Perlis tidak cukup guru bahasa Inggeris sejak tiga bulan lalu kerana cikgunya tidak diganti selepas berpindah.

“Anak beritahu guru subjek lain akan menggantikan waktu bahasa Inggeris setiap hari. Ini sangat merisaukan kerana silibus tidak dapat dihabiskan dan anak akan ketinggalan,” katanya.
Ahmad Mustapa, 47, pula berkata, masalah kekurangan guru telah lama berlaku dan gagal diatasi dengan baik.

“Saya pernah alami situasi ini dan ia memberi beban besar kepada saya dan rakan-rakan sekelas untuk kembali me­nguasai sukatan mata pelajaran biologi yang tertinggal kerana ketiadaan guru hampir setahun.

“Selepas 36 tahun masalah ini masih berlaku dan ia terjadi pula kepada anak saya yang bersekolah di Perlis,” katanya.
Ujar Ahmad, isu itu serius ke­rana pelajar akan terkejar-kejar untuk menguasai mata pelajaran yang ketinggalan akibat ketiadaan guru.

Sementara itu, wanita dikenali sebagai Zura, 45, berkata, anak­nya yang belajar di tingkatan lima pernah mengadu tiada guru yang menggantikan cikgunya yang cuti bersalin di Shah Alam, Selangor.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN