fbpx

Piala Malaysia: JDT singkir Perak FC, bergaya ke final dengan agregat 12-2

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ARIF AIMAN (kanan) merembat bola ke arah gawang gol Perak FC dalam perlawanan separuh akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri malam ini. - Foto RAJA JAAFAR ALI

ISKANDAR PUTERI – Johor Darul Ta’zim (JDT) melayakkan diri ke perlawanan akhir Piala Malaysia dengan bergaya apabila berjaya menundukkan Perak FC di Stadium Sultan Ibrahim, di sini malam ini dengan jaringan 8-1.

Permainan seimbang pada 10 minit pertama apabila kedua-dua pasukan dilihat menyusun strategi untuk mengasak lawan masing-masing sebelum JDT melakar jaringan pertama pada minit ke-11 menerusi jaringan Arif Aiman Hanapi.

Harimau Selatan dilihat terus mudah merobek pertahanan pasukan pelawat apabila turut menambah dua lagi gol masing-masing pada minit ke-26 dan minit ke-31 menerusi jaringan Bergson Da Silva dan Heberty Fernandes.

Jaringan Da Silva tinggi melepasi jangkauan penjaga gol Perak FC, Muhammad Farhan Abdul Majid manakala sepakan rendah Heberty Fernandes berhasil daripada sepakan sudut menjadikan kedudukan 3-0 selepas 45 minit permainan.

Separuh masa kedua bermula rancak dengan kedua-dua pasukan kembali mengatur serangan, namun seperti dijangka JDT tidak mengambil masa terlalu lama untuk menambah jaringan menjadikan kedudukan 4-0 pada minit ke-52 menerusi jaringan cantik Fernando Forestieri.

Tidak perlu menunggu lama, Bergson Da Silva sekali lagi menemui jaring hanya selepas tujuh minit menjadikan kedudukan 5-0 pada minit ke-59.

Belum sempat penyokong JDT meraikan jaringan tersebut, Syafiq Ahmad menanduk masuk gol keenam JDT selepas menerima bola hantaran Oscar Arribas pada minit ke-61.

Perak terus berdepan mimpi ngeri apabila JDT berjaya mendapatkan jaringan ketujuh pada minit ke-77 apabila Syafiq Ahmad memanfaatkan situasi kucar-kacir depan gawang pasukan pelawat.

JDT melengkapkan malam cemerlang mereka dengan jaringan kelapan pada masa tambahan menerusi jaringan Heberty Fernandes.

Perak FC beroleh hadiah saguhati selepas akhirnya berjaya membolos gawang JDT pada masa tambahan selepas 90 minit perlawanan menerusi jaringan Muhammad Firdaus Ahmad Fuad. -KOSMO! ONLINE

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, & TikTok

TERKINI

BERITA BERKAITAN