fbpx

Boikot jangan hangat-hangat tahi ayam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

PERANG Gaza-Israel tercetus kembali 7 Oktober lalu. Sepanjang 25 hari peperangan berlaku setakat semalam, ribuan nyawa terutama kanak-kanak menjadi korban.

Kediaman penduduk, hospital, sekolah, masjid dan gereja musnah dibedil. Setiap masa penduduk Palestin hidup dalam ketakutan. Nyawa mereka diibaratkan seperti telur di hujung tanduk.

Peperangan kali ini dianggap paling buruk melibatkan serangan udara, darat dan laut. Pertubuhan amal kanak-kanak antarabangsa, Save The Children mendedahkan seorang kanak-kanak di Gaza terbunuh setiap 10 minit. Daripada 20,000 orang awam yang cedera, satu pertiga adalah kanak-kanak.

Persatuan Palang Merah Antarabangsa pula menyifatkan situasi kemanusiaan di Gaza mengejutkan, malah kata badan itu peperangan sekali pun mempunyai batasan kemanusiaan.

Sejak hari pertama pertempuran berlaku, sokongan Malaysia terhadap Palestin tidak pernah berkurangan melibatkan semua peringkat iaitu pemimpin tinggi, pembangkang, golongan selebriti dan rakyat jelata.

Semua atas tujuan sama menoktahkan kezaliman ke atas rakyat Palestin. Perbuatan itu diterjemahkan menerusi pelbagai kaedah seperti kutipan dana, perhimpunan secara besar-besaran. Laungan ‘Hidup Palestin’ terus bergema di jalanan dan media sosial.

Masjid dan surau di seluruh negara melaksanakan solat hajat bagi keselamatan dan perlindungan rakyat Palestin. Di media sosial, kempen memboikot produk yang dikaikan dengan Israel terus dikongsi.

Tindakan memboikot produk-produk itu dilihat sebagai salah satu jihad untuk melemahkan ekonomi pihak sana. Sejak itu, penulis dapat melihat premis-premis perniagaan yang dikaitkan itu lengang seketika.

Pada mulanya, penulis menyangkakan situasi itu berlaku kerana orang ramai ‘kering poket’, namun ternyata sampai sekarang masih suram.

Jika ada pelanggan pun mungkin tidak sampai satu pertiga daripada pengunjung sebelum tindakan boikot dilaksanakan.

Tindakan memboikot produk yang dipercayai mempunyai kaitan dengan Israel ini bukan pertama kali dilaksanakan, malah sebelum ini tindakan serupa pernah dibuat di negara ini.

Penulis masih ingat ketika itu, kereta yang mempunyai pelekat restoran makanan segera turut menjadi sasaran pihak yang memboikot.

Penyatuan hati yang ditonjolkan rakyat Malaysia sebagai tanda solidariti buat rakyat Palestin wajar diberi gred A. Bagi penulis, inilah masa yang terbaik untuk rakyat Malaysia menyokong produk buatan tempatan.

Banyak produk tempatan yang mempunyai kualiti setanding barangan luar negara dan berpotensi berkembang, tetapi sayangnya sebelum ini dijadikan sebagai pilihan kedua.

Jadi inilah masanya untuk melonjakkan produk orang kita. Cuma harapan penulis tindakan ini bukannya bersifat sementara atau dalam peribasa hangat-hangat tahi ayam. Dalam masa sama, marilah kita berdoa kezaliman ke atas Palestin akan berakhir dalam masa terdekat. Merdekakan rakyat Palestin.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI